Harian Metro

24 filem jadi saksi termasuk satu belum sempat ditayang

-

Semalam pastinya hari paling sedih buat industri perfileman tanah air.

Mamat Khalid, pengarah berkaliber yang cukup dihormati penggiat dan peminat filem tanah air pergi menghadap Ilahi dalam usia 58 tahun akibat serangan jantung di kafe miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak, jam 12.30 tengah malam semalam.

Mengenali Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid ini, beliau mungkin nampak serius ketika duduk di kerusi pengarah. Namun, hakikatnya Mamat memang kelakar, suka bergurau, murah dengan senyuman dan sinonim dengan kebanyakan genre filem arahannya iaitu komedi.

Apabila bercerita mengenai karya-karya Mamat dan gaya pengarahan­nya, Mamat ada identitiny­a sendiri.

Maksudnya, jika kita menonton filem berkenaan tanpa dimaklumka­n siapa pengarahny­a, kita boleh tahu itu filem Mamat Khalid berdasarka­n dialog, cerita, pelakon dan lokasi filem itu.

Dialog dalam loghat Perak dan lokasi penggambar­an di sekitar Perak seperti Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping sudah menjadi trademark dalam filem-filem Mamat.

Satu lagi kelebihan Mamat yang juga anak jati Kampung Sungai Rokam, Ipoh ialah dia tidak terlalu bergantung kepada pelakon popular sebagai watak utama dalam filemnya.

Ini boleh dilihat dalam filem pecah panggung arahannya seperti Hantu Kak Limah, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Rock Bro!, Rock Oo!, Rock dan 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Pelakon yang kurang dikenali sebelum itu seperti Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullai­l yang membawa watak Usop Wilcha, Allahyarha­m Rab Khalid (Yeh Sekupang), Allahyarha­m Man Kadir (Pak Jabit), Dewa Sapri (Cik Purnama), Azmi Baharon (Black), Sharwani NS (Wani, Dio), Afea Deana (Yah Kuchei) dan Rashid Othman (Faguha Jabar) berjaya menampilka­n lakonan berkesan hasil bimbingan Mamat.

Malah, kebanyakan watak-watak tambahan yang terdiri daripada rakan-rakan sekeliling termasuk rakan media yang diminta menjadi ‘pelakon’ juga mampu menjayakan watak masing-masing.

Siapa tidak kenal dengan watak pembantu perubatan dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah lakonan bekas Pengarang Hiburan Berita Harian, Zainuri Misfar yang popular dengan dialog, ‘bala...bala...’

Begitu juga dengan nama-nama yang sedia dikenali antaranya Belle Ngasri (Barkoba), Kazar (Pak Din), Joey Daud (Daud M), Delimawati (Kak Limah), Khir Rahman (Jijo), Kamarul Haji Yusof (Cik Man) dan Allahyarha­m Loloq (Ah Lok, A Kamsan) yang terus mencipta populariti selepas ‘menjadi’ dengan watak ciptaan Mamat.

Mamat juga dilihat berjaya menjadikan Awie cukup sebati dengan watak Husin.

Menerusi watak itu, Mamat berjaya ‘menukar’ Awie yang kita kenali sebagai penyanyi Wings atau watak-wataknya dalam filem Datuk Yusof Haslam satu ketika dulu kepada seorang yang kelakar.

Husin membuatkan orang tahu Awie sebenarnya berbakat besar sebagai pelakon komedi. Malah, sehingga ke akhir hayatnya, Mamat memanggil Awie dengan nama Husin walaupun bukan dalam penggambar­an.

Selain itu, komedi Mamat bukanlah slapstick, tetapi komedi satira. Dalam setiap karyanya, Mamat pasti menyelitka­n kritikal sosial serta mewujudkan banyak watak yang mempunyai kaitan dengan senario politik negara dan isu semasa.

Mamat juga kerap memaparkan mesej perpaduan dan berbilang kaum dalam karyanya. Dalam setiap filemnya, pasti ada diselitkan babak membabitka­n kaum Cina dan India mengenai budaya masing-masing.

Jika diteliti, Mamat yang juga adik kepada kartunis tersohor, Datuk Lat mungkin mengambil inspirasi daripada karya Lat yang kerap mengetenga­hkan mesej sama dalam kartun-kartunnya.

Walaupun ketika hayatnya, Mamat seperti ‘tidak selesa’ jika ada yang membanding­kan dia dengan abangnya itu, tapi penulis percaya sedikit-sebanyak Mamat ada mengambil inspirasi daripada Lat.

Selepas tampil dengan filem pertama arahannya, Lang Buana pada 2003, Mamat sudah mengarah 24 filem termasuk Rajawali: Aku Abang Long yang belum sempat ditayangka­n.

Antara filem popularnya ialah Rock, Rock Oo!, Rock Bro!, Zombie Kampung Pisang, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Hantu Kak Limah, Man Laksa, Estet, Kala Malam Bulan Mengambang, Apokalips X, Manap Karaoke dan 18 Puasa Di Kampong Pisang.

Selain filem komedi, Mamat turut tampil dengan filem genre berat dan dark seperti Lebuhraya Ke Neraka, Amir & Loqman Pergi Ke Laut dan Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

Mamat turut menghasilk­an telefilem dan drama bersiri yang terus diingati seperti Namaku Yassin, Rombongan Cik Kiah Sukan Komanwel, Pinang Durian, 15 Puasa, 16 Puasa, 17 Puasa dan Kampung Pisang Bersiri-Siri.

Selain itu, Mamat juga menulis skrip untuk hampir semua filem dan telefilem arahannya.

Sepanjang kerjayanya, Mamat diangkat sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 pada 2008 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang dan Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin 2002 menerusi telefilem Pinang Durian.

Apa yang pasti, pemergian Mamat sukar dicari ganti. Setakat ini, tidak ada pengarah atau penggiat filem yang memiliki aura seperti Mamat.

Mamat yang juga peminat tegar kumpulan rock Pink Floyd dan lagu-lagu Melayu era 1960-an ini adalah legenda dalam kelasnya tersendiri. Al-fatihah.

Arwah Mamat tampil dengan filem pertama arahannya, Lang Buana pada 2003

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia