Harian Metro

Sambut Deepavali secara sederhana

-

Seremban:

Berbaki 12 hari lagi perayaan Deepavali, masyarakat India di negeri ini memanfaatk­an cuti hari minggu untuk membuat persiapan secara sederhana susulan pandemik Covid-19 ketika ini.

Tinjauan di Little India sepanjang Jalan Yam Tuan di sini, mendapati orang ramai mula mencari barangan keperluan perayaan itu yang akan disambut pada 4 November ini.

Rata-rata pelanggan yang ditemui memilih untuk mendapatka­n barangan seperti pakaian dan perhiasan diri, lebih awal bagi mengelak bersesak pada saat akhir.

Suri rumah dari Kuala Pilah, G Shanti, 57, berkata, dia dan keluarga membuat persiapan lebih awal kerana teruja untuk menyambut Deepavali kali ini.

“Saya sekeluarga biasanya lebih suka membuat persiapan seawal mungkin kerana ingin membeli dalam keadaan selesa tanpa bersesak dengan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, jururawat T Pramawathy, 32, berkata, dia akan sampai ke tempat membeli-belah seawal mungkin untuk mencari barangan persiapan Deepavali tanpa perlu berhimpit dengan orang ramai.

“Saya dan keluarga memilih untuk menyambut Deepavali secara sederhana seperti yang dilakukan pada tahun sebelum ini.

“Rendang ayam adalah makanan kegemaran keluarga, justeru, makanan tradisiona­l Melayu itu wajib ada semasa Deepavali selain kari kambing, tosai dan muruku,” katanya.

Pelanggan kedai bahan membuat kuih, G Risha, 17, berkata, Deepavali kali ini diraikan secara sederhana dan berjimat cermat.

“Tahun lalu saya hanya duduk di rumah namun melihat kes Covid-19 sudah menurun, saya datang ke sini untuk membeli barang persiapan,” katanya.

 ?? ?? PENGUNJUNG membuat persiapan awal dengan memilih barangan aksesori untuk digayakan pada sambutan Deepavali di Little India, Brickfield­s, semalam.
PENGUNJUNG membuat persiapan awal dengan memilih barangan aksesori untuk digayakan pada sambutan Deepavali di Little India, Brickfield­s, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia