Harian Metro

Lebih gemar beli di pasar raya berbanding pasar awam

-

Johor Bharu: Pasar raya yang menjual ayam dan telur ayam pada harga berpatutan menjadi pilihan penduduk terutama golongan berpendapa­tan sederhana.

Peniaga makanan, Justina Albani, 42, berkata harga ayam yang melambung sejak sebulan lalu hingga mencecah RM10 sekilogram membebani penduduk mahupun peniaga.

Menurutnya, segelintir peniaga memberi alasan punca kenaikan harga ayam adalah disebabkan penguranga­n bekalan ayam.

“Pengusaha restoran, kedai makan dan katering terpaksa berniaga dalam keadaan tertekan apabila harga ayam di pasaran naik secara mendadak dalam tempoh sebulan berikutan sebelum ini ia boleh didapati pada harga RM5.80 sekilogram.

“Namun harga ayam di pasar raya jauh lebih rendah berbanding sesetengah pasar awam hingga ia menjadi pilihan ramai terutama peniaga seperti kami,” katanya ketika ditemui.

Penduduk, Sade Karle, 56, berkata penjimatan antara RM1 hingga RM2 amat bermakna bagi penduduk berpendapa­tan sederhana dan rendah hingga lebih gemar membeli ayam di pasar raya berbanding di pasar awam.

Menurutnya, kualiti ayam di pasar raya juga menyamai di pasar awam.

“Baru-baru ini saya mengunjung­i pasar awam bagi membeli ayam dan terkilan mendapati harga sekilogram ayam mencecah lebih RM9.

“Bagaimanap­un harga di pasar raya adalah lebih murah dan jimat,” katanya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Hasmah Ghazalli, 60, berkata selain pasar awam, berlaku kenaikan harga ayam secara mendadak di kedai runcit.

Menurutnya, dengan keadaan ekonomi tidak stabil, kenaikan harga ayam membebani penduduk terutama golongan kurang berkemampu­an.

Sementara itu, Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam berkata, bekalan ayam di pasar raya berkenaan di seluruh negara masih mencukupi dan ia dijual pada harga berpatutan.

Menurutnya, harga semasa sekilogram ayam adalah RM8.50 dan pihaknya memastikan harga ayam ditawarkan lebih rendah berbanding pesaing.

“Mungkin kenaikan harga ayam berpunca daripada permintaan yang meningkat berikutan kebanyakan sektor sudah beroperasi semula.

“Kami akan memeriksa harga ayam dua hingga tiga hari sekali dan kebanyakan pengunjung berpuas hati dengan harga ditawarkan dan menyatakan ia lebih rendah berbanding di luar.

“Selain harga ayam, kami juga mengambil kira aspek kualiti dan kebersihan kesemua barangan dijual termasuk barang basah,” katanya ketika ditemui.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia