Harian Metro

Lonjakan kes sudah dijangka

Dengan kebenaran rentas negeri ramai ambil sikap seolah-olah pandemik kini berakhir

- Oleh Amir Abd Hamid am@hmetro.com.my

Lonjakan kes harian Covid-19 selepas kebenaran rentas negeri dan daerah diberikan sudah dijangka pakar kesihatan di negara ini.

Pengarah Pusat Penyelidik­an dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, apabila rentas negeri dan daerah dibenarkan, rakyat dengan secara tidak langsung mengambil sikap seolah-olah pandemik sudah habis.

Pakar virologi itu berkata, ramai beranggapa­n fasa endemik maknanya pandemik sudah habis seterusnya sudah boleh kembali jalani rutin harian seperti biasa.

“Ramai tidak faham apa maksud endemik dan bagi mereka itu bagus. Saya rasa ada kesilapan dalam memberikan maklumat dan penjelasan kepada rakyat biasa yang bukan pakar sains atau perubatan.

“Kita kebanyakan­nya berfikiran mudah, kalau masuk fasa endemik seperti ia fasa bagus, kita sudah boleh merentas.

“Sebenarnya apabila kita masuk fasa endemik maknanya itu fasa yang lebih berbahaya. Apabila masuk fasa endemik bermakna semua orang boleh dijangkiti. Itulah maksudnya fasa endemik, tetapi ia sudah disalahtaf­sirkan,” katanya.

Menurutnya, apabila salah tafsir itu berlaku, ramai orang meninggalk­an apa yang patut dilakukan berkaitan kesihatan awam terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka yang betul, penjarakan fizikal, memastikan pengaliran udara baik di sesuatu tempat dan kerap mencuci tangan.

Menurutnya, pada masa ini ramai juga mengadakan majlis sosial seperti kenduri dengan menjemput keluarga dan kenalan yang tinggal berjauhan.

“Apabila keluarga tinggal berjauhan serata negara yang sudah lama tidak berjumpa, jadi masing-masing nak melepaskan rindu, ambil ringan hal SOP.

“Tak pakai lagi pelitup muka walaupun selepas makan, begitu juga penjarakan fizikal. Terjadinya itu, perkara yang pakar sudah menyatakan kes akan melonjak naik.

“Kita sudah lihat kes harian naik. Paling kita risaukan sekarang ini adalah peningkata­n kadar kematian,” katanya.

Beliau berkata, apa paling dibimbangk­an ialah kematian akibat Covid-19 yang tidak kira sama ada mangsa sudah vaksin atau belum vaksin.

“Sama sahaja kemungkina­n boleh dijangkiti sama ada vaksin atau tidak vaksin. Kita risaukan kadar kematian yang tidak turun-turun.

“Dulu kata turun, tetapi sebenarnya bukan turun sebaliknya backlog (kes tertunggak). Maknanya kadar kematian itu tetap tinggi sampai sekarang,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun berkata, peningkata­n kes disebabkan rentas negeri tidak akan melumpuhka­n sistem kesihatan awam.

Beliau berkata, walaupun kes harian banyak, kebanyakan kes iaitu antara 95 hingga 96 peratus adalah pesakit kategori 1 dan 2 yang tidak perlu rawatan dan hanya perlu jalani kuarantin di rumah. “Kita sudah tidak memberi rawatan kepada kategori 1 dan 2 di tempat kuarantin. Kakitangan kesihatan di tempat kuarantin juga sudah kembali bertugas dan fokus di hospital.

“Keduanya, dengan 94 peratus penduduk dewasa di negara ini divaksinas­i, kebarangka­lian untuk komplikasi berlaku ke kategori 3, 4 dan 5 juga adalah rendah dibandingk­an sebelum ini.

“Sekarang pun sudah terbukti penggunaan katil di unit rawatan rapi atau wad pemerhatia­n pesakit kategori 3 dan 4 semakin kurang,” katanya.

Dalam sidang media sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, faktor utama lonjakan kes harian adalah disebabkan kebenaran rentas negeri.

“Kementeria­n Kesihatan mengunjurk­an purata kes sebanyak 7,576 untuk tempoh lima hari akan datang.

“Tiga negeri iaitu Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur, Wilayah Persekutua­n Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatat peningkata­n sejak kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lalu,” katanya.

Sebenarnya apabila kita masuk fasa endemik maknanya itu fasa yang lebih berbahaya. Apabila masuk fasa endemik bermakna semua orang boleh dijangkiti”

Dr Sazaly

 ?? ?? LOKASI membeli-belah utama di ibu kota, Bukit Bintang sibuk dengan kunjungan warga kota, semalam.
LOKASI membeli-belah utama di ibu kota, Bukit Bintang sibuk dengan kunjungan warga kota, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia