Harian Metro

Dirasuk hantu dek RM10

Lelaki belasah bapa OKU guna kayu selepas mangsa minta wang beli makanan

- Oleh Hidayatida­yu Razali am@hmetro.com.my

Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) bermasalah mental dibelasah dengan kayu oleh anak lelakinya hanya kerana mangsa meminta wang RM10 untuk membeli makanan.

Dalam kejadian jam 11 pagi pada 17 Oktober lalu di Kampung Dusun Durian, Bekelam di sini, mangsa berusia 62 tahun cedera selepas dipukul bertubi-tubi oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superinten­dan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa cedera termasuk patah pergelanga­n tangan kanan dan luka di kepala mendapatka­n rawatan di Hospital Machang.

Menurutnya, lelaki terbabit menerima sembilan jahitan di kepala akibat dipukul anaknya berusia 34 tahun dengan kayu.

Katanya, kejadian dimaklumka­n suspek kepada adik lelakinya berusia 32 tahun yang ketika kejadian berada di Kedai Lalat, Kota Bharu.

“Abangnya memaklumka­n dia memukul ayah mereka menyebabka­n adiknya terus pulang ke rumah untuk melihat keadaan lelaki terbabit.

“Dia (adik suspek) mendapati ayah mereka cedera akibat dipukul lalu membawanya ke hospital untuk mendapatka­n rawatan.

“Mangsa menerima sembilan jahitan di kepala dan patah pergelanga­n tangan kanan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Ismail berkata, laporan polis hanya dibuat pada Khamis lalu berikutan lelaki itu bersimpati dengan suspek dan bimbang anaknya ditahan oleh pihak polis.

Katanya, selepas dipujuk dan bimbang dengan keselamata­n diri, mangsa akhirnya membuat laporan polis.

“Susulan laporan itu, suspek ditahan jam 5 petang hari sama untuk siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia