Harian Metro

Syafik sedia isi posisi sayap kiri

-

Kuala Terengganu:

Pemain muda negara, Muhammad Syafik Ismail sedia memikul tanggungja­wab lebih besar jika diberi kepercayaa­n mengisi posisi sayap kiri pasukan berdepan Laos petang ini.

Malah pemain yang kian menyerlah bersama Terengganu FC II (TFC II) itu sedia beraksi 90 minit perlawanan jika diberi peluang oleh pengendali kebangsaan, Brad Maloney.

Namun pemain bertubuh kecil berketingg­ian 1.58 meter kelahiran Marang itu sedar bukan tugas mudah beraksi dalam cuaca sejuk bawah 10 darjah Celcius.

“Semua pemain pasti tidak sabar untuk turun ke padang termasuk saya berdepan dengan Laos apatah lagi ia bakal menjadi penampilan pertama dalam karier bersama skuad kebangsaan.

“Cabaran bukan sahaja dengan pasukan lawan, cuaca sejuk juga menjadi antara cabaran yang perlu kami harungi apabila berkunjung ke Stadium Persekutua­n Bolasepak Mongolia (MFF), petang esok (ini).

“Bagaimanap­un kami tidak mahu cuaca sebagai penghalang memperagak­an aksi terbaik bagi memburu kemenangan pada aksi pertama itu.

“Begitu juga dengan padang rumput tiruan di stadium berkenaan, kami sudah biasa mengadakan latihan di Malaysia, jadi ia bukan perbezaan ketara buat kami beraksi di stadium berkenaan dan sejujurnya kami sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, semalam.

Ketika ditanya mengenai keserasian antara pemain, bekas pemain Terengganu FC (TFC) musim lalu itu akui semakin serasi selepas lebih sebulan menyertai kem latihan pusat kebangsaan selain enam lagi rakan sepelatihn­ya daripada pasukan TFC dan TFC II ‘diborong’ Maloney.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia