Harian Metro

‘Setitik air mata tidak tumpah’

Wanita cekal urus suami alami strok sebelah badan selepas terjatuh di tandas pejabat

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

“Saya percaya Allah tidak akan menguji di luar kemampuan hambanya dan cuba kuat kerana tahu ramai lagi di luar sana lebih dahsyat ujiannya,” kata ibu dua anak, Syazwani Adnan.

Syazwani, 27, dari Taman Rambai di sini memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalaman­nya menjaga suami, Shahrul Liza, 28, yang mengalami strok sebelah kanan badan dan kini tidak dapat bertutur.

Kisah Syazwani tular di laman sosial selepas memuat naik video di TikTok mengenai rutinnya menguruska­n suami dan kesungguha­n serta kesetiaann­ya terhadap Shahrul turut mendapat pujian netizen.

Bercerita lanjut, Syazwani berkata, dia dan Shahrul sudah berumah tangga sejak lima tahun lalu dengan sebelum ini suaminya yang menjadi tulang belakang keluarga.

Bagaimanap­un, segalanya berubah selepas Shahrul diserang strok selepas terjatuh di tandas pejabat pada 3 Ogos lalu menyebabka­n Syazwani perlu mengambil alih tugas mengurus keluarga.

“Suami saya tidak mengalami simptom kerana pagi sebelum kejadian, dia sempat bersarapan dan menghadiri mesyuarat bersama abah (Adnan Sahat, 53).

“Bagaimanap­un, saya dikejutkan dengan panggilan memaklumka­n suami terjatuh di tandas dan pengsan.

“Ingatkan tiada yang serius namun doktor beritahu ada pendarahan di otak dan ia antara punca suami diserang strok selain keletihan akibat terlalu lama menghadap komputer serta bermain permainan video,” katanya.

Syazwani berkata, suaminya ditahan selama sembilan hari di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada 12 Ogos lalu.

Biarpun sedih, Syazwani cuba menyembuny­ikan perasaanny­a, malah menyambut kepulangan Shahrul ke rumah dengan tenang seolah-olah suaminya tidak sakit.

“Setitik air mata saya pun tidak tumpah ketika suami pulang ke rumah kerana mahu dia (suami) nampak saya kuat di hadapannya.

“Saya anggap dia seperti tidak sakit dan layan seperti biasa walaupun hakikatnya sedih melihat keadaannya.

“Ikutkan, saya tiada pengalaman menjaga orang sakit tetapi cuba uruskan suami termasuk suapkan makan, mandikan dan bersihkan najisnya.

“Emak (Elouny Mahany Abd Aziz, 47) tinggal sebulan di rumah kami pada awalnya jadi dia yang banyak membantu menjaga anak sementara saya mengurus suami,” katanya.

Berkongsi keadaan Shahrul, Syazwani berkata, pada awalnya suami hanya terlantar di katil, malah minum menggunaka­n saluran tiub selain makan bubur saja.

Menurut Syazwani, keadaan bertambah baik pada bulan lalu apabila suaminya boleh duduk di kerusi roda dan makan serta minum seperti biasa.

“Kini, dia boleh masuk sendiri ke dalam kereta dan ikut saya bersiar-siar ambil angin atau pergi ke kedai.

“Buat masa ini, dia tidak boleh bercakap namun saya ada ajarnya mengeja dan menaip di telefon bimbit dan papan tulis sebagai isyarat jika mahukan sesuatu.

“Kiranya, saya perlu latih dan uruskannya seperti budak kecil yang mana ia memang memerlukan kesabaran tinggi. Syukur anak faham keadaan suami walaupun mereka masih kecil malah keluarga abah banyak membantu kerana ketika sihat dulu, suami bekerja dengannya (abah),” katanya.

Berhubung perkongsia­nnya di TikTok yang tular, Syazwani mengakui terkejut dan menganggap ia di luar jangkaanny­a.

“Saya sebenarnya lebih banyak kongsikan rutin dengan suami di Instagram (IG) cuma baru-baru tergerak hati untuk muat naik video di TikTok kerana seronok tengok pasangan lain lakukannya.

“Tak sangka video itu raih tontonan tinggi, malah ada pengikut berkongsi rasa sebak mereka kerana turut lalui pengalaman sama iaitu menjaga suami yang sakit.

“Apa pun, saya akan terus menjaganya selagi terdaya dan harap dia sihat kerana menurut doktor, suami kemungkina­n boleh sembuh dalam setahun,” katanya yang masih perlu membawa suaminya melakukan pemeriksaa­n, rawatan dan terapi susulan di hospital.

Saya anggap dia seperti tidak sakit dan layan seperti biasa walaupun hakikatnya sedih melihat keadaannya”

Syazwani

 ?? ?? SYAZWANI cekal menguruska­n Shahrul yang kini tidak dapat bertutur.
SHAHRUL diserang strok selepas terjatuh di tandas 3 Ogos lalu.
GAMBAR kenangan Syazwani dan Shahrul ketika Aidilfitri lalu.
SYAZWANI cekal menguruska­n Shahrul yang kini tidak dapat bertutur. SHAHRUL diserang strok selepas terjatuh di tandas 3 Ogos lalu. GAMBAR kenangan Syazwani dan Shahrul ketika Aidilfitri lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia