Harian Metro

JANGKA DIDAKWA SELASA INI

Reman pemandu treler terbabit nahas ragut nyawa lima pelajar USAS turut disambung

- Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri am@hmetro.com.my

Pemandu treler muatan besi yang terbabit dalam nahas di Kilometer 24.2, Lebuhraya Utara-Selatan meragut nyawa lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini, Khamis lalu dijangka didakwa di mahkamah pada Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ia bagaimanap­un bergantung kepada keputusan timbalan pendakwa raya memandangk­an kertas siasatan kes akan diserahkan kepadanya pada hari itu.

“Kertas siasatan akan dikemukaka­n kepada timbalan pendakwa raya pada hari Selasa. Jika beliau berpuas hati, suspek akan dituduh pada petang hari sama.

“Dalam pada itu kita akan bawa suspek ke Mahkamah Majistret esok (hari ini) untuk permohonan sambung reman,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Omar Bakhtiar dilaporkan berkata, pemandu treler berusia 28 tahun itu direman empat hari bermula Khamis sehingga Ahad (hari ini) bagi membolehka­n siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Siasatan polis sebelum ini mendapati pemandu berasal dari Kubang Pasu, Jitra, Kedah itu mempunyai 22 saman dengan 21 daripada jumlah saman itu sudah dibayar termasuk lapan saman kesalahan kerana memandu laju.

Suspek dilapor turut mempunyai sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ),yang sekali gus dijangka memberi kesan kepada penggantun­gan atau pembatalan lesen memandu miliknya.

Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu bagaimanap­un mendapati dia negatif dari mengambil dadah.

Dalam perkembang­an berkaitan, Omar Bakhtiar berkata, kelima-lima jenazah sudah diserahkan kepada waris masing-masing dengan jenazah terakhir diserahkan jam 8 malam kelmarin selepas selesai proses pengecaman identiti di Unit Forensik Hospital Taiping.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia