Harian Metro

WAHYU DIJAUHI KERANA KAMBING

Bekas mekanik ditohmah pemalas kini usahawan penternaka­n

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

“Ada kawan menjauhkan diri, menggelark­an jijik kerana membela kambing dan mengatakan saya pemalas kerana jadi penternak namun saya maafkan mereka serta cuba berlapang dada,” luah Mohamad Fakhehrudd­in Ismon atau mesra disapa Wahyu.

Wahyu, 33, bukan pemuda kampung biasa, malah memiliki Diploma Automotif lulusan Kolej Komuniti Jempol, Negeri Sembilan dan pernah menjadi mekanik kereta lumba selama enam tahun.

Bagaimanap­un, keputusan untuk pulang ke kampung enam tahun lalu bagi menjaga ibu bapa mengubah hidupnya selepas mencabar diri dengan menjadi penternak kambing.

Meskipun tiada pengalaman, Wahyu berusaha keras dan hasilnya, dia sudah menternak 40 ekor kambing yang ditempatka­n di kandang dibina di belakang kediaman ibu bapanya dekat Sungai Buaya di sini.

“Pengalaman sebagai mekanik kereta lumba memberi peluang kepada saya bekerja di luar negara antaranya Bangkok, Thailand dan Jepun.

“Pendapatan bulanan mencecah RM5,500 namun kesilapan saya dulu adalah kerana terlalu leka dengan dunia hingga berdepan masalah dan akhirnya dinasihatk­an adik beradik untuk pulang ke kampung bagi menjaga orang tua.

“Pada awalnya, saya hanya ambil upah buat rumah dan kerja kampung. Nak dijadikan cerita, saya buat kerja di sebuah rumah pakcik yang menternak kambing kemudian tergerak membeli anak kambing berusia tiga bulan daripadany­a yang dijual dengan harga RM200,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya.

Menurut Wahyu, anak kambing itu ditempatka­n di dalam sangkar kucing pada awalnya dan dipelihara selama enam bulan sebelum dijual harga RM950.

“Kemudian, saya beli pula dua ekor anak kambing jantan dan sejak itu, datang minat untuk serius menjadi penternak hingga kini.

“Tak sangka juga kerana tiada ‘darah’ penternak atau ahli keluarga yang menceburi bidang penternaka­n namun bersyukur sampai ke tahap ini.

“Bagaimanap­un, perjalanan sebagai penternak tidak semuanya indah kerana saya pernah hampir berputus asa terutama apabila diuji dengan kematian kambing dan ada antaranya yang sakit namun keluarga terutama emak (Saerah Marzuki, 71) banyak memberi galakan untuk saya terus ke hadapan,” katanya.

Biarpun masih baru bidang penternaka­n, Wahyu bersyukur kerana ramai anak muda mahu mengikut jejak langkahnya menjadi penternak sejak berkongsi kisah jatuh bangunnya di TikTok.

Wahyu berharap kisah itu memberi inspirasi dan lebih ramai anak tempatan menjadi penternak kerana mengakui bidang itu ada masa depan jika bersungguh.

“Saya aktif di TikTok sejak dua tahun lalu dan Alhamdulil­lah, pengikut semakin ramai, malah 40 peratus daripadany­a sudah jadi penternak kerana saya suka berkongsi ilmu serta beri kata semangat di situ.

“Bukan sekadar berinterak­si dengan mereka di TikTok, malah ada dalam kalangan pengikut yang datang ke rumah dan ke kandang bagi melihat kambing ternakan, salah seekornya Mika hingga saya tidak terlayan memandangk­an ada kerja.

“Terima kasih diucapkan dan perancanga­n saya adalah melangkah lebih jauh dalam bidang penternaka­n ini, kalau boleh mahu menarik pembeli dalam kalangan penternak di seluruh negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia