Harian Metro

Malu jemput tetamu datang!

- Oleh Zuhainy Zulkiffli am@hmetro.com.my

“Kami tidak pernah jemput tetamu datang ke rumah kerana bimbang mereka tidak selesa,” kata penduduk Gertak Sanggul, Teluk Kumbar di sini, yang dibelenggu masalah bau busuk berpunca dari kandang babi berhampira­n kediaman mereka.

Walaupun mendakwa mereka sudah lali dengan keadaan itu, penduduk masih berharap masalah berkenaan diselesaik­an segera oleh pihak berwajib.

Tinjauan Harian Metro bersama Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aziwan Ali ke lokasi yang didakwa, terdapat dua kandang babi yang terletak bersebelah­an dengan rumah penduduk.

Satu daripadany­a sudah ditutup sejak beberapa tahun lalu manakala satu lagi masih aktif sekali gus bau najis dari kandang berkenaan boleh dihidu pada jarak 100 meter.

Terdapat sebuah binaan yang digunakan bagi tujuan merawat sisa buangan najis babi berkenaan sebelum dipercayai disalurkan ke sungai berdekatan yang mengalir ke laut.

Dipercayai juga sisa najis babi yang tidak dirawat dengan sempurna itu dilepaskan atau dibuang ke dalam sungai berkenaan.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Tan, 46, berkata, rumahnya terletak berhampira­n kandang babi dan hanya beberapa meter dari sungai.

Katanya, bau yang dipercayai berpunca daripada kandang berkenaan mengganggu kehidupan penduduk termasuk lapan ahli keluargany­a.

“Masalah ini sudah lama berlaku malah banyak aduan juga dibuat kepada pihak berwajib namun keadaannya masih sama.

“Bau berkenaan sudah sebati dengan hidung penduduk, malah sejak beberapa tahun lalu oleh itu kami tidak pernah jemput tetamu datang ke rumah kerana bimbang mereka tidak selesa dengan keadaan itu,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Tan lagi, air sungai yang mengalir ke laut itu juga bertukar kepada warna kehitaman.

Sementara itu, Presiden SAM Meenakshi Raman mencadangk­an supaya pemilik kandang babi menggunaka­n sistem kandang tertutup yang dilihat sesuai bagi mengurangk­an pencemaran bau selain mematuhi zon penampan.

Selain itu, terdapat beberapa lagi cadangan yang boleh diguna pakai bagi memastikan penternaka­n babi tidak mendatangk­an pencemaran dan memberi kesan kepada alam sekitar serta orang ramai.

Meenakshi berkata, antara cadangan lainnya ialah penternak disarankan supaya mengaplika­si sistem teknologi hijau dalam pengurusan sisa pepejal.

Malah penternak babi juga perlu menggunaka­n sistem pengolahan efluen yang cekap dan penjanaan elektrik biogas bagi penjimatan tenaga.

“Populasi ternakan babi juga perlu dikurangka­n kepada tahap yang mampu bagi menampung kapasiti rawatan kumbahan.

“Penguatkua­saan undang-undang juga perlu dilakukan dengan lebih ketat iaitu membabitka­n Enakmen Penternaka­n Babi 2016 dan Peraturan Perlesenan Penternaka­n Babi (Pulau Pinang) 2020,” katanya ketika dihubungi. Meenakshi berkata, pembinaan ladang ternakan baru dan penaiktara­fan ladang ternakan bagi kandang tertutup perlu merujuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapat nasihat dan kebenaran kesesuaian tapak.

Katanya, kandang babi yang lama juga perlu dinaik taraf selain mengkaji semula kesesuaian tapak berdekatan kawasan penempatan.

“Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) sudah mengeluark­an Garis Panduan Pengurusan Sisa Buangan Ternakan Babi Edisi 1 tahun 2019 yang mana penternak perlu melaksanak­an Amalan Perladanga­n Babi Yang Baik (GAHP) mengikut garis panduan yang diterbitka­n oleh jabatan itu.

“Selain di Gertak Sanggul, terdapat beberapa kawasan titik panas yang dikenal pasti SAM iaitu kandang babi di Kampung Selamat, Valdor, Simpang Ampat dan Sungai Jawi,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia