Harian Metro

Peminat durian berbaris sejak 10 pagi

-

Georgetown: Beberapa kawasan di negeri ini khususnya di Balik Pulau kembali meriah susulan musim raja buah yang dinantikan penggemar tempatan dan luar negara.

Tinjauan di sekitar Jalan Anson, Jalan Macalister dan Jalan Burmah juga tidak kurang meriahnya apabila orang ramai berbaris bagi membeli durian sejak pagi.

Pengunjung dari Singapura yang mahu dikenali sebagai Chee, 60-an berkata, dia datang ke Pulau Pinang sejak beberapa hari lalu dan gembira kerana ia tepat pada waktu musim durian di negeri ini.

“Saya memang ‘hantu durian’ dan sudah lama mahu merasai durian Pulau Pinang, buahnya ‘cantik’, kekuningan serta manis,” katanya yang datang bersama tiga lagi ahli keluarga.

Bagi Norliana Muhammad Noh, 46, dari Taiping, Perak berkata, lazimnya dia dan keluarga akan bercuti ke Pulau Pinang setiap kali musim durian.

“Tahun lalu memang kecewa kerana tidak dapat datang ke sini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarka­n aktiviti rentas negeri.

“Harganya agak mahal namun apabila sudah dapat rasai keenakanny­a, ‘pejam mata’ sajalah,” kata pekerja swasta berkenaan.

Sementara itu peniaga buah di Jalan Anson, Ang Hock Leng, 56, berkata, sambutan terhadap pesta durian kali ini amat luar biasa susulan negara yang sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Katanya, ketika ini durian D604, Musang King dan duri hitam adalah paling banyak dijual manakala jenis lain pula akan luruh bulan depan.

“Orang ramai sudah berbaris sejak jam 10 pagi serta boleh makan terus di meja dan kerusi yang disediakan di sini.

“Peniaga dan pemilik dusun menjangka pesta durian kali ini pasti meriah, sekali gus mengalu-alukan kedatangan pengunjung bagi merasai keunikan dan kelainan rasa buah di negeri ini,” katanya.

Hock Leng berkata, durian yang terdapat di gerainya dijual pada harga bermula RM18 hingga RM100 ke atas mengikut jenis. “Kebanyakan pelanggan di sini, terutama yang datang dari luar Pulau Pinang memang mahu membeli Musang King dan duri hitam,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia