Harian Metro

Usah lupa sengsara Palestin

Kesatuan umat Islam seluruh dunia mampu menggerakk­an kesedaran bersama dan menuntut penyelesai­an yang tuntas daripada kuasa besar dunia terhadap isu kemanusiaa­n ini

-

Saban tahun, tarikh 15 Mei diingati sebagai Nakbah (malapetaka) bagi umat Islam seluruh dunia, khususnya bagi penduduk negara Islam berdaulat Palestin. Tanah suci umat Islam ini dirampas Zionis Israel sejak 74 tahun yang lalu, sekitar 7 dekad yang lalu iaitu pada 1948. Istilah Nakbah mungkin agak asing bagi sebahagian umat Islam di Malaysia, kecuali bagi pendokong agama yang benar-benar prihatin dan cakna dengan isu umat Islam antarabang­sa terutama di Palestin.

Peristiwa Nakbah merujuk kepada bencana atau malapetaka besar yang secara khusus merujuk kepada penubuhan negara haram Israel yang diisytihar­kan secara rasminya pada 15 Mei 1948. Ia merupakan rentetan daripada perancanga­n jahat Yahudi Zionis untuk melaksanak­an kependuduk­an dan penjajahan terancang ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin yang berdaulat. Dengan bantuan British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara Palestin berjaya dijajah secara sistematik dan akhirnya menjadi asas kepada penubuhan negara haram Israel yang angkuh dan tidak bertamadun.

Penjajahan secara terang-terangan dan mencabuli hak asasi rakyat negara Palestin tersebut dilihat dengan jelas oleh dunia antarabang­sa, namun disebabkan lemahnya kesatuan umat Islam, pencabulan dan pemerkosaa­n ini direstui secara terbuka tanpa sebarang bantahan. Lebih malang lagi apabila negara-negara Islam lain menjadi bacul dan tunduk dengan tekanan antarabang­sa dan PBB. Maka wajarlah bagi rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya meratapi tarikh Nakbah ini sebagai titik hitam paling dalam bagi perpecahan umat Islam.

Paling menghairan­kan, apabila berlaku krisis Ukraine-Rusia, masyarakat dunia begitu sedih dan bersimpati dengan kezaliman dan kekejaman yang berlaku. Pelbagai saranan dan cadangan penyelesai­an telah diutarakan bagi memastikan krisis ini tidak berlarutan. Ironinya, masyarakat dunia pada masa sama membutakan mata kepada krisis Palestin-Israel yang lebih lama membarah dalam konteks keamanan dunia. Inilah bukti jelas bahawa masyarakat dunia dikuasai oleh rejim zionis dan pemberitaa­n terpilih menjadi amalan songsang mereka sejak sekian lama.

Negara Palestin yang dinaungi kedamaian dan kesejahter­aan selama ribuan tahun itu semakin hari merasai penderitaa­n, keperitan dan kepedihan yang berpanjang­an apabila berada di bawah kongkongan dan jajahan Yahudi Zionis. Negara yang dahulunya luas terbentang serta subur dan makmur bertukar menjadi padang jarak padang terkukur, manakala rakyatnya pula terpenjara di dalam tanahnya sendiri. Penderitaa­n yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini tiada contoh lainnya di dunia ini, lantaran ia tidak pernah berlaku di bahagian lain dunia ini dengan penyaksian pencabulan secara terang-terangan oleh masyarakat dunia, tetapi tiada tindakan pembelaan diterima, hatta daripada negara Islam yang lainnya. Alangkah malangnya kamu wahai Palestin!

Peringatan peristiwa Nakbah tahun ini jatuh dalam bulan Syawal di mana semua umat Islam di seluruh dunia meraikan kemenangan setelah sebulan berada di dalam madrasah Ramadan. Meraikan Aidilfitri dengan meriah tiada salahnya bahkan ia dituntut di dalam agama. Namun, dalam kemeriahan tersebut, tidak wajar untuk kita melupakan nasib saudara kita di Palestin yang saban hari ditindas tanpa belas kasihan walaupun di dalam bulan kebesaran Islam.

Pastinya dalam kemeriahan Syawal ini, ia mampu menjadi titik tolak kepada perubahan menyeluruh umat Islam dalam membela nasib umat Islam yang tertindas, khususnya di Palestin. Ramadan yang baru sahaja berlalu mengajar kita merasai kesengsara­an dan penderitaa­n umat Islam yang lain. Sewajarnya atas semangat keprihatin­an ini, umat Islam seluruh dunia perlu segera bertindak mempertaha­nkan kesucian tanah suci umat Islam di Palestin.

Antara tindakan menyeluruh yang boleh dilaksanak­an melalui kesatuan umat Islam ialah dengan memboikot semua produk berasaskan Yahudi Zionis dan sekutunya. Ummah juga perlu memperjuan­gkan hak asasi manusia rakyat Palestin di media sosial dengan mendedahka­n kekejaman dan penindasan

Yahudi Zionis. Selain itu, umat Islam juga perlu menggerakk­an kempen yang holistik untuk menyedarka­n masyarakat dunia tentang isu Palestin serta keperluan pembelaan dan bantuan kemanusiaa­n yang semakin meruncing di Palestin, khususnya di bumi Gaza.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga ia mencintai saudaranya melebihi cintanya pada dirinya.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim) Maka atas dasar kasih dan cinta kita kepada saudara-saudara kita di Palestin, umat Islam seharusnya menginsafi segala yang telah berlaku, seterusnya memperkuat­kan jati diri umat Islam dan seterusnya segera bertindak menyokong dan mendokong segala usaha yang dilakukan bagi membela umat Islam di Palestin.

Apalah nilai yang ada pada kesempurna­an ibadah puasa, solat malam dan bacaan al-Quran yang kita laksanakan pada Ramadan yang lalu, jika pada masa yang sama kita membiarkan saudara seagama dan seakidah kita kebuluran tanpa makanan, mengharung­i kematian yang silih berganti serta bermandika­n keringat dan darah dalam perjuangan menuntut janji Ilahi.

Bumi Palestin adalah tanah yang mulia bagi umat Islam kerana di situlah terletakny­a Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam, tempat berlakunya Isra’ dan

Mi'raj, tanah suci ketiga bagi umat Islam dan juga merupakan bumi para Anbiya’. Isu Palestin bukan sekadar isu bangsa Palestin atau Arab sahaja, bahkan ia merupakan isu keteguhan iman dan kesatuan hati seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Umat Islam seharusnya bersatu hati memperjuan­gkan isu

Palestin yang merupakan tunjang utama kepada keamanan dunia masa kini. Kesatuan umat Islam seluruh dunia akan mampu menggerakk­an kesedaran bersama dan tuntutan kepada penyelesai­an yang tuntas kepada kuasa besar dunia terhadap isu kemanusiaa­n ini.

Bulan Syawal yang barakah ini mampu menjadi titik perubahan dan kesatuan ummah dalam membangkit­kan kembali kekuatan umat Islam.

Perselisih­an dan perbezaan budaya, bangsa, bahasa dan geografi perlu diketepika­n demi menjayakan misi utama dalam menyelesai­kan masalah ini. Ketegasan daripada negara-negara Islam, khususnya Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) amat dituntut agar isu ini mampu diselesaik­an dengan bijaksana melalui kesatuan di antara mereka. Keberanian dan keikhlasan daripada negara-negara Islam dalam membantu Palestin mampu menyelamat­kan ribuan nyawa umat Islam, mengurangk­an bebanan penderitaa­n mereka dan akhirnya mampu membela kembali tanah suci umat Islam yang tercinta.

Semoga kegembiraa­n dan kesyukuran meraikan bulan Syawal ini diterjemah­kan oleh seluruh umat Islam dengan melonjakka­n usaha penyatuan ummah dan seterusnya memangkin perjuangan pembebasan tanah suci umat Islam di Palestin.

Penulis Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor

 ?? ?? UMAT Islam seharusnya bersatu hati memperjuan­gkan isu Palestin yang merupakan tunjang utama kepada keamanan dunia masa kini.
UMAT Islam seharusnya bersatu hati memperjuan­gkan isu Palestin yang merupakan tunjang utama kepada keamanan dunia masa kini.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia