Harian Metro

Kerajaan perkenal 7 kategori baharu

-

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) akan memperkena­lkan tujuh kategori baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif itu dilaksana dengan tujuan menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbang bakti kepada pembanguna­n negara.

Beliau berkata, tujuh anugerah baharu yang diperkenal­kan termasuk Ikon Belia Karismatik, Ikon Belia Kelestaria­n Alam, Ikon Belia Reka Tekno dan Ikon Belia Influencer (Media Sosial).

“Turut diperkenal­kan Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz serta Ikon Belia OKU,” katanya dalam perutusan sempena Hari Belia Negara (HBN) 2022 bertemakan Ini Masa Kita yang disiarkan di TV1, semalam.

Beliau juga mengumumka­n Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanak­an dalam majlis khusus bermula tahun ini.

“Saya juga berbesar hati mengumumka­n bermula pada tahun ini, ia akan dilaksanak­an dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktira­f pelaksanaa­n program yang meraikan golongan belia negara,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju meneruskan pelaksanaa­n Program Podium sehingga tahun 2025 dengan peruntukan keseluruha­n berjumlah RM249 juta bagi tempoh empat tahun.

“Ia bagi menghargai pencapaian cemerlang atlet negara di persada antarabang­sa rata-rata dibarisi golongan belia iaitu 31.6 peratus daripada jumlah atlet negara.

“Penerusan program ini bukan sahaja memberikan galakan buat atlet belia, malah perancanga­n dan persediaan turut dapat dilaksanak­an dengan teratur bagi membolehka­n lebih banyak pencapaian cemerlang direalisas­ikan di peringkat antarabang­sa,” katanya.

- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia