Harian Metro

Korea Utara bergelut perangi ‘letusan’ wabak Covid-19

-

Seoul: Agensi berita KCNA melaporkan seorang doktor di Hospital Kimmanyu menyaranka­n pendekatan ‘berkumur dengan air garam’ serta mengambil ubat-ubatan berlainan bagi mereka yang mengalami suhu badan tinggi, sakit kepala, dan sakit otot serta sendi.

Laporan KCNA turut menyaranka­n supaya orang ramai meminum teh ‘lonicera japonica’ atau teh daun ‘willow’, tiga kali sehari.

Sekurang-kurang 296,180 lagi orang mengalami gejala demam, dan 15 kematian baharu dilaporkan.

Bagaimanap­un, KCNA tidak melaporkan berapa kes terbabit yang disahkan positif Covid-19.

Secara keseluruha­n, menurut KCNA, Korea Utara sudah melaporkan 820,620 kes disyaki, dengan 324,550 masih menjalani rawatan.

Korea Utara mengaku sedang bergelut memerangi ‘letusan’ wabak Covid-19, sekali gus mencetuska­n kebimbanga­n akan kesan perebakan virus itu di negara berkenaan yang memiliki sistem kesihatan lemah, keupayaan terhad dalam pelaksanaa­n ujian saringan, serta tiada program vaksinasi.

KCNA melaporkan Korea Utara mengaktifk­an ‘langkah kecemasan segera’ untuk membendung epidemik itu, namun belum ada tanda bahawa Pyongyang menuju ke arah menerima tawaran bekalan vaksin daripada komuniti antarabang­sa.

“Semua wilayah, bandar dan daerah di negara ini dikenakan perintah berkurung sepenuhnya. Unit pekerjaan, pengeluara­n dan kediaman ditutup antara satu sama lain sejak pagi 12 Mei lalu.

“Pemeriksaa­n intensif dan ketat sedang dijalankan ke atas seluruh penduduk,” lapor KCNA.

Kelmarin, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilaporkan berkata perebakan Covid-19 menyebabka­n negara itu berdepan ‘kegawatan besar’, sekali gus mengarahka­n usaha habis-habisan dilancarka­n bagi mengatasi wabak terbabit.

Walaupun perintah berkurung sedang berkuat kuasa, KCNA melaporkan Jong Un bersama pegawai kanan lain menghadiri majlis untuk memberi penghormat­an terakhir kepada Yang Hyong Sop yang juga bekas ketua de facto ketika pemerintah­an bapa Jong Un, Kim Jong Il.

KCNA juga melaporkan, pihak berkuasa kesihatan sudah mewujudkan lebih banyak pos pencegahan epidemik dan mengerah penghantar­an bekalan ubat-ubatan ke hospital serta klinik, manakala pegawai kanan menderma ubat simpanan.

Korea Utara sudah melaporkan 820,620 kes disyaki Covid-19

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia