Harian Metro

Jaguh lompat galah belum fikir tampil kali ke-6

-

Hanoi: Atlet lompat bergalah lelaki negara, Iskandar Alwi belum mempunyai jawapan muktamad sama ada beraksi di Sukan Sea Kemboja tahun depan selepas dia meraih pingat gangsa kali keempat berturut-turut di Hanoi, kelmarin.

Iskandar yang sebelum ini meraih perak di temasya sama pada 2013 di Naypyidaw, belum mempunyai perancanga­n sama ada membuat penampilan kali keenam atau sebaliknya.

“Belum tahu lagi macam mana (apa yang ingin dilakukan selepas ini). Saya belum berbincang dengan jurulatih lagi,” kata atlet berusia 28 tahun itu.

Iskandar meraih gangsa kali keempat berturut-turut dalam acara lompat bergalah lelaki di Sukan Sea Vietnam kelmarin sekali gus mengulangi pencapaian di Singapura (2015), Kuala Lumpur (2017) dan Filipina (2019) selepas melakukan lompatan 4.80 meter (m) di Stadium My Dinh.

Sebelum itu atlet kelahiran Johor itu berkata, dia mengalami sedikit kecederaan di buku lali namun diatasinya dan berjaya menghadiah­kan pingat buat pasukan olahraga negara.

“Tiada masalah cuma saya rasa sedikit kekejangan ketika bertanding,” katanya yang pernah beraksi di Sukan Asia Incheon 2014.

Ditanya hasrat beraksi di Sukan Sea buat kali keenam di Kemboja tahun depan, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 5.31 meter (m) itu berkata, perkara berkenaan belum bermain di fikirannya.

“Masih tidak pasti lagi,” kata Iskandar yang tumpas kepada dua atlet Filipina dalam saingan lompat bergalah di Stadium My Dinh kelmarin.

Filipina menguasai acara berkenaan selepas Ernest John Obiena meraih emas dengan melakukan lompatan 5.46m, manakala rakan senegara, Hokett Delos Santos melakar catatan

5.00m.

 ?? ?? ISKANDAR ketika beraksi pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.
ISKANDAR ketika beraksi pada Sukan SEA 2021 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.
 ?? ?? ARSYAD membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea Hanoi.
ARSYAD membuat penampilan kali pertama di Sukan Sea Hanoi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia