Harian Metro

3 bot cabut lari masuk laut Indonesia

-

Chukai: Nelayan Vietnam dikesan menjadikan kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia sebagai lokasi baharu mencuri hasil laut negara kerana mudah melepaskan diri daripada ditangkap Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM).

Perkara itu terbukti dengan penahanan bot Vietnam bersama 21 nelayan berusia 18 hingga 54 tahun termasuk seorang tekong pada kedudukan 108 batu nautika tenggara dari Kuala Kemaman, petang kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilha­di Abd Rashid berkata, bot itu ditahan jam 5.30 petang ketika nelayan Vietnam menangkap ikan menggunaka­n pukat tunda ganding bersama tiga lagi bot nelayan.

“Kesemua empat bot itu dikesan mencuri hasil laut negara ketika kami melakukan rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di sekitar perairan Terengganu.

“Menyedari kehadiran kami, mereka cuba melarikan namun kami berjaya menahan satu bot berkenaan manakala baki bot melarikan diri dengan memasuki perairan Indonesia,” katanya ditemui di jeti APMM Kemaman di sini, semalam.

Menurutnya, itu taktik terbaru digunakan nelayan Vietnam yang mana mereka akan merompak hasil negara di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia dan melarikan diri ke negara berkenaan jika menyedari kehadiran pasukan keselamata­n.

Mengulas lanjut mengenai tangkapan itu, katanya, semua ditahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan bot terbabit turut tidak mempunyai sebarang permit untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

Katanya, selain bot, pihaknya turut merampas 1,000 liter diesel, dua tan ikan pelbagai jenis dan alatan menangkap ikan yang dianggarka­n bernilai RM1.6 juta.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalanka­n aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia