Harian Metro

Bukan ibu tiri jahat!

Usahawan sambal layan anak tiri umpama zuriat sendiri

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

Meskipun tiada pertalian darah, Noor Ezlinda Ismail melayan dua anak tirinya seperti zuriat sendiri, malah ikhlas mendidik dan membesarka­n mereka.

Tanggungja­wab itu digalas Noor Ezlinda, 38, sejak berkahwin dengan suami, Zien Hashim, 51, yang dulunya duda dua anak kira-kira 10 tahun lalu.

Kisah Noor Ezlinda yang menetap di Bukit Jelutong, di sini mendapat perhatian selepas berkongsi videonya yang sebak ketika menerima hadiah daripada anak tirinya, Zara Humaira, 14, sebagai kejutan sempena ulang tahun kelahiran dan Hari Ibu pada 8 Mei lalu.

Berkongsi kisahnya, Noor Ezlinda yang juga usahawan sambal berkata, perkahwina­n dengan suaminya bukan atas dasar cinta sebaliknya kerana dia kasihan dan mahu membantu Zien membesarka­n Ziad Hasyirin, 17, dan Zara Humaira, 14 yang ketika itu masih kecil.

“Ketika kali pertama bertemu suami, saya baru putus tunang dan diperkenal­kan dengannya oleh kakak angkat.

“Pada waktu itu, suami datang bersama dua anaknya dan daripada awal lagi dia sudah berterus terang mengenai statusnya sebagai duda.

“Tempoh perkenalan kami tidak lama kerana masuk hari ke-10, suami sudah melamar untuk berkahwin dengan saya namun saya tanya pandangan emak dahulu kerana tidak yakin,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Noor Ezlinda berkata, emaknya, Rohana Yusof, 62, minta dia tidak berfikir panjang, malah memujuknya menerima lamaran suami, bahkan sedia memberi tunjuk ajar cara membesarka­n Ziad Hasyirin dan Zara Humaira.

“Daripada awal lagi, sudah tetapkan niat untuk menjaga anak kandung suami jadi sebab itu saya cuba didik mereka dengan sebaiknya.

“Cuma, pada awalnya suami tidak terima cara saya mendidik anak kerana agak tegas dan pentingkan disiplin walaupun mereka masih kecil.

“Bagaimanap­un, saya gunakan pendekatan itu kerana ayah dulunya askar jadi terikut caranya namun lama kelamaan suami dapat terima serta faham apa saya lakukan,” katanya.

Di sebalik kemanisan, Noor Ezlinda mengakui berdepan cabaran sepanjang membesarka­n dua anak tirinya.

“Jujurnya, pernah juga rasa letih hingga terfikir mampukah saya membesarka­n anak kerana ia bukan tugas mudah.

“Lama kelamaan, saya dapat rasai kenikmatan walaupun hanya sebagai ibu tiri apabila anak menyayangi dan menerima kehadiran diri ini dalam hidup mereka.

“Jauh di sudut hati, saya memang inginkan zuriat sendiri namun akur belum ada rezeki namun bersyukur kepada Allah kerana kurniakan anak tiri yang menghargai diri ini,” katanya.

Berhubung perkongsia­nnya di TikTok, Noor Ezlinda berkata, video itu sekadar dimuat naik bagi berkongsi perasaan gembiranya kerana dihargai anak tiri.

“Ramai beri kata positif dan turut sama tersentuh namun ada komen agak kasar meminta anak tiri supaya tidak terlalu sayangkan saya kerana akan diabaikan jika diri ini ada anak sendiri satu hari nanti.

“Hakikatnya, saya sudah berjanji dengan diri sendiri tidak akan sisihkan mereka walaupun satu hari nanti Allah beri rezeki untuk dapat zuriat.

“Anak ada baca komen berkenaan dan mereka marah jadi reaksi itu bukti mereka menyayangi saya,” katanya.

“Jauh di sudut hati, saya memang inginkan zuriat sendiri Noor Ezlinda

 ?? ?? NOOR Ezlinda bersama suami serta dua anak tiri pada sambutan Syawal, baru-baru ini.
NOOR Ezlinda bersama suami serta dua anak tiri pada sambutan Syawal, baru-baru ini.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia