Harian Metro

Tiada dua-dua lutut

Guru OKU jadikan kekurangan diri ‘satu kelebihan’ didik pelajar

-

Berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak lahir bukan penghalang kepada seorang guru, Zawati Yusoff, 52, untuk terus menabur bakti mendidik anak bangsa.

Guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 itu berkata, beliau mula berkecimpu­ng dalam bidang perguruan sejak 21 tahun lalu bagi mendidik pelajar pendidikan khas terdiri daripada golongan OKU.

Tidak memiliki kedua-dua lutut hanya paha dan betisnya bersambung, Zawati berkata, kekurangan dirinya itu menjadi ‘satu kelebihan’ baginya dalam memahami kerenah pelajar.

“Mengajar anak-anak pendidikan khas ini, ia satu tanggungja­wab yang berat memandangk­an mereka perlu diajar mengikut kesesuaian masing-masing.

“Memiliki kesabaran yang tinggi antara sebab saya mampu mengatasi kesukaran untuk mendidik pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuk sindrom Down, lembam dan hiperaktif,” katanya di rumahnya di Kampung Chekok, Jalan Rambutan Rendang di sini.

Bercerita lanjut, ibu kepada anak lelaki berusia lapan tahun itu mengakui bergelar pendidik berstatus OKU bukan perkara mudah selain turut berdepan masalah kesihatan.

“Saya mudah mengalami kekejangan kaki apabila berjalan jauh, berdiri dalam tempoh terlalu lama dan sebagainya.

“Menjadi lumrah apabila kekejangan kaki sebaik tiba di kelas namun tidak menjadi masalah bagi saya meneruskan pengajaran dan pembelajar­an,” katanya.

Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, matlamat beliau hanya satu iaitu mendidik pelajar kurang bernasib baik untuk memperoleh kejayaan dunia dan akhirat setanding pelajar normal.

“Apa yang menggembir­akan hati saya sebagai guru adalah apabila melihat anak didik mampu berdikari dan ‘berdiri sama tinggi’ dengan pelajar biasa, selain memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar seterusnya mendirikan rumah tangga.

“Masa hadapan mereka pasti akan cerah jika diberi didikan sempurna oleh guru yang bertanggun­gjawab. Saya turut berharap guru-guru khususnya guru Pendidikan Khas supaya tidak jemu dalam mendidik dan melatih pelajar ini untuk menjadi insan berguna,” katanya.

Penat lelah dan pengorbana­n Zawati dalam mendidik anak-anak pendidikan khas berbaloi apabila beliau menerima Anugerah Guru Cemerlang OKU (Pendidikan) pada 2010, 2016 dan 2019 selain Anugerah Tokoh Zinnirah Al Rumiyah (OKU) daripada Kerajaan Negeri Kelantan tahun lalu.

 ?? ?? ZAWATI mengajar anaknya, Muhammad Abdul Hanan, 8, mengaji di rumahnya di Kampung Chekok, Jalan Rambutan Rendang.
ZAWATI mengajar anaknya, Muhammad Abdul Hanan, 8, mengaji di rumahnya di Kampung Chekok, Jalan Rambutan Rendang.
 ?? ?? ZAWATI bersama suami, Mohammed Zainuddin Derhaman, 46, dan anak mereka, Muhammad Abdul Hanan.
ZAWATI bersama suami, Mohammed Zainuddin Derhaman, 46, dan anak mereka, Muhammad Abdul Hanan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia