Harian Metro

21 pelajar tahfiz ikuti Program Fast Track SPM

-

‘ Untuk 2022 kita memperkena­lkan satu program baru iaitu kumpulan aliran sains. Kini 21 pelajar tahfiz sudah bermula awal Januari lalu untuk belajar dalam Fast Track SPM bagi aliran sains” Dr Mohamad Rafie

Seremban: Masa depan pelajar tahfiz tetap diutamakan apabila kerajaan Negeri Sembilan memperkena­lkan Program Fast Track SPM aliran sains kepada mereka sebagai salah satu kaedah pembanguna­n modal insan di negeri ini

Seramai 21 pelajar tahfiz menjadi kumpulan perintis bagi aliran berkenaan apabila diberikan tempoh dua tahun untuk belajar sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Perindustr­ian, Keusahawan­an, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek berkata, umum mengetahui pelajar tahfiz tidak mengikuti pembelajar­an formal seperti pelajar lain.

“Kerajaan negeri sangat menekankan untuk membantu pelajar dan golongan remaja.

“Kita ada pelajar belajar tahfiz, menghafal al-Quran, jadi mereka ini tidak belajar akademik di sekolah.

“Untuk 2022 kita memperkena­lkan satu program baru iaitu kumpulan aliran sains. Kini 21 pelajar tahfiz sudah bermula awal Januari lalu untuk belajar dalam Fast Track SPM bagi aliran sains,” katanya, semalam.

Beliau berkata, aliran sains memerlukan pelajar untuk menguasai subjek kimia, biologi dan fizik serta subjek asas lain.

“Untuk aliran sains kita tahu tidak mudah pelajar mempelajar­i fizik, kimia dan biologi dalam tempoh singkat. Oleh itu kita memberi tempoh masa dua tahun untuk mereka,” katanya.

Jelas Mohamad Rafie, program berkenaan sudah bermula pada 2021 dengan aliran sastera bagi kumpulan pertama seramai 50 pelajar dan kini menunggu keputusan peperiksaa­n itu.

“Kami memulakan program ini dengan kumpulan pertama pada 2021 bagi aliran sastera dan mereka diberikan tempoh setahun untuk belajar sebelum menduduki SPM. Kita lihat prestasi mereka nanti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu melihat anak Negeri Sembilan bukan sahaja memiliki kemahiran menghafal al-Quran malah mempunyai sijil pelajaran yang diperakui sebagai salah satu bekalan untuk masa akan datang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia