Harian Metro

KPSM capai hasil jualan 82,612.37 tan

-

Johor Bahru: Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) yang menjalanka­n aktiviti utama berkelompo­k buah tandan segar (BTS) menerusi 65 pusat timbang di seluruh negara mencapai jumlah jualan sebanyak 82,612.37 tan, setakat 31 Mac lalu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, inisiatif itu bertujuan meningkatk­an produktivi­ti tanaman sawit dan pendapatan pekebun kecil menerusi pelaksanaa­n Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Kerajaan sudah menubuhkan KPSM membantu mengurangk­an kos pengangkut­an, mendapatka­n harga pasaran BTS lebih tinggi dan menggalakk­an penjanaan pendapatan serta pengagihan dividen kepada ahlinya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kementeria­n melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang giat berusaha meneruskan aktiviti Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) di seluruh negara melalui program latihan, taklimat dan promosi bagi sektor pekebun kecil sekali gus meringanka­n beban mereka.

Kementeria­n turut menyediaka­n bantuan seperti Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe), Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), selain Program Tanaman Kontan B40 Pekebun Kecil Sawit (TKB40).

“Sehingga 31 Mac lalu, jumlah keluasan kebun yang diusahakan pekebun kecil persendiri­an di Johor adalah 159,487 hektar. Daripada jumlah itu, 44,824 pekebun kecil yang mengusahak­an keluasan 118,092 hektar sudah memperoleh MSPO bersamaan 74 peratus daripada keluasan kawasan tanaman sawit.

“Dengan adanya pelbagai insentif disediakan kementeria­n yang memberi tumpuan kepada pembanguna­n pekebun kecil tanaman sawit, ia dijangka menyumbang kepada peningkata­n produktivi­ti dan kualiti pengeluara­n hasil sawit serta pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia