Harian Metro

Ziyad reda pingat diraih

-

Hanoi: Jauh di sudut hatinya atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mahu mengubah warna pingat apabila bertanding di Sukan Sea kali ketiga di Hanoi namun dia tetap reda dengan gangsa yang diraih kelmarin.

Ziyad yang sebelum ini meraih perak di Manila (2019) hanya dapat mengulangi pencapaian Sukan Sea sulungnya pada 2017 apabila meraih gangsa di Stadium Nasional My Dinh.

“Kalau boleh saya mahu keputusan yang lebih baik dan warna pingat lain pula. Selepas dapat perak, saya mahukan emas tapi saya reda, apa yang berlaku saya sangat puas hati,” katanya yang melalui insiden kemenangan­nya dibatalkan di Sukan Paralimpik Tokyo tahun lalu.

Menurut atlet berusia 32 tahun itu, apa yang membuatkan dia berpuas hati dengan pencapaian kelmarin adalah mampu melakukan lontaran sempurna selepas berbulan-bulan menjalani latihan.

“Hanya ini keputusan terbaik yang dapat saya tunjukkan namun lontaran 17.20 meter (m) di Sukan Sea 2021 juga adalah cukup baik buat saya, ia mampu menjadi persiapan terbaik sebelum ke Switzerlan­d.

“Selepas ini 10 hari lagi saya akan berlepas ke Switzerlan­d (Grand Prix Para Olahraga di Nottwil, Switzerlan­d 26 hingga 28 Mei). Jadi saya mula mendapatka­n rentak sebelum ke kejohanan berkenaan dan juga Sukan Para Asia,” katanya.

Ditanya adakah gangsa yang diraih sedikit-sebanyak mengubat episod duka tahun lalu, Ziyad mengakui dia sudah membuktika­n kembali bangkit.

“Saya memang sentiasa tiba awal, sebagai atlet kita harus mengikut masa dengan tepat seperti ditetapkan. Apa yang terjadi (sebelum ini) adalah kesilapan diri saya sendiri dan dijadikan pengajaran. Benda sudah berlaku,” katanya.

Ziyad yang meraih emas di Sukan Paralimpik Rio, melakukan lontaran sejauh 17.20m kelmarin, manakala emas milik atlet Filipina, William Morrison III Edward (18.14m), diikuti Jakkapat Noisri dari Thailand (17.32m).

 ?? ?? MUHAMMAD Ziyad bersama pingat gangsa yang dimenangin­ya pada Sukan Sea ke-31 di My Dinh National Stadium, Hanoi.
MUHAMMAD Ziyad bersama pingat gangsa yang dimenangin­ya pada Sukan Sea ke-31 di My Dinh National Stadium, Hanoi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia