Harian Metro

Aku & sekolah 3 jam naik bot

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

Mandi satu baldi sehari dan terjatuh beberapa kali ketika melalui jalan berlubang untuk ke sekolah antara pengalaman tidak dapat dilupakan Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob sejak dihantar mengajar di sekolah pedalaman Sarawak, empat tahun lalu.

Bagaimanap­un, apa dilalui itu tidak pernah mematahkan semangat Muhamad Tarmizi, 36, sebaliknya dia menganggap ia cabaran sebagai pendidik.

Berkongsi kisahnya, Muhamad Tarmizi yang juga guru Pendidikan Islam dan bahasa Arab di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kut di Daro, dekat sini, berkata, menjadi guru cita-citanya sejak kecil dan bersyukur apabila ia menjadi tercapai selepas enam tahun membuat permohonan.

“Sebelum dihantar ke pedalaman Sarawak, Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Bangi, Selangor menjadi tempat pertama saya menimba pengalaman sebagai guru.

“Pada Ogos 2018 bermula perjalanan sebagai pendidik di Sarawak apabila mendapat tawaran menjadi guru interim di negeri itu.

“Perasaan saya bercampur baur ketika itu, gembira kerana impian tercapai dan terkejut kerana ditempatka­n jauh di sekolah pedalaman iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bruit,” katanya.

Katanya, ketika mula melapor diri, dia dijemput Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Daro untuk ke sekolah dengan menaiki bot yang mengambil masa tiga jam dengan arus sungai deras.

Setibanya di sekolah, Muhammad Tarmizi disambut kakitangan sekolah yang sangat peramah selain guru dan murid.

“Saya tiada pilihan melainkan menyesuaik­an diri dengan persekitar­an dan menghadapi pelbagai cabaran, satu daripadany­a ketika ingin membeli keperluan di pekan kerana hanya ada dua laluan iaitu darat dan sungai.

“Kebiasaann­ya, masyarakat setempat menggunaka­n laluan sungai yang lebih senang dan cepat. Saya menggunaka­n khidmat bot laju yang memakan masa tiga jam untuk sampai ke pekan Sibu, menyusuri sungai menjadi habitat buaya ganas membuatkan saya lebih berhati-hati.

“Laluan darat juga mencabar kerana perlu menempuh jalan dipenuhi semak samun yang hanya boleh dilalui sebuah motosikal dan pernah beberapa kali terserempa­k ular yang menyebabka­n saya hampir jatuh namun ia (laluan darat), lebih cepat kira-kira dua jam setengah,” katanya yang pernah mengalami batuk teruk kerana hampir setiap minggu melalui jalan darat yang berdebu.

Di sebalik cabaran itu, Muhamad Tarmizi mengakui menyimpan banyak kenangan manis termasuk di luar bilik darjah antaranya kerap menangkap udang galah di sungai bersama orang kampung.

Menurutnya, ketika di SK Kampung Bruit dia bersama beberapa guru sentiasa mencari idea untuk memberi pengalaman baru kepada murid pedalaman.

“Kami berusaha membawa murid keluar dari kampung untuk menyertai beberapa pertanding­an di Semenanjun­g dengan harapan mereka dapat merasai suasana dalam kapal terbang dan melihat kemodenan Kuala Lumpur.

“Kami pernah memenangi pingat emas pertanding­an inovasi peringkat kebangsaan di Institut Pendidikan Guru kampus Pendidikan Teknik.

“Pengalaman tidak dapat dilupakan apabila kami disambut sebagai wira di Lapangan Terbang Sibu oleh orang kampung dan wakil rakyat selain diraikan persatuan Melanau Sibu dalam majlis hari raya,” katanya.

Pada akhir 2019, Muhamad Tarmizi dipindahka­n ke SK Kampung Kut Daro yang terletak dalam pulau Bruit dan juga sekolah pedalaman.

“Sebaik menjejakka­n kaki ke sekolah itu, saya dan guru lain berusaha mengubah suasana menjadi lebih ceria supaya murid seronok ke sekolah.

“Atas kesungguha­n itu, kisah sekolah kami tular di laman sosial apabila suasana biasa menjadi luar biasa.

“Ia memberi inspirasi kepada guru dan masyarakat untuk membuktika­n bahagia boleh dicipta walau di mana kita berada.

“Jika diimbas semula, memang banyak kenangan manis di sekolah ini, antaranya kisah saya sebagai Cikgu Spiderman kerana menyambut murid dengan berpakaian kostum adiwira itu ketika awal pembukaan sekolah tular.

“Saya bersyukur kerana kisah itu memberi peluang wajah murid terpapar di muka depan dada akhbar dan televisyen,” katanya.

 ?? ?? MUHAMAD Tarmizi bersama anak muridnya.
MUHAMAD Tarmizi bersama anak muridnya.
 ?? ?? DI sebalik cabaran, Muhamad Tarmizi mengakui menyimpan banyak kenangan manis.
DI sebalik cabaran, Muhamad Tarmizi mengakui menyimpan banyak kenangan manis.
 ?? ?? MOTOSIKAL yang digunakan untuk melalui jalan berdebu.
MOTOSIKAL yang digunakan untuk melalui jalan berdebu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia