Harian Metro

Hanya kenderaan berpermit dibenar guna laluan jip

-

Georgetown: Pemilik kenderaan yang menaiki Bukit Bendera menerusi laluan jip bakal berdepan tindakan kompaun serta dibawa ke mahkamah sekiranya didapati tidak memiliki kebenaran atau permit.

Tindakan itu diambil bagi memastikan kenderaan berpermit sahaja menaiki laluan berkenaan bagi mengelak kemalangan serta kesesakan lalu lintas di atas Bukit Bendera.

Pengerusi Jawatankua­sa Infrastruk­tur dan Pengangkut­an negeri, Zairil Khir Johari berkata, bagi menangani kemasukan kenderaan tanpa permit Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) melaksanak­an kawalan secara fizikal dengan pemasangan palang automatik serta pondok kawalan trafik dengan sistem pemantauan kamera litar tertutup (CVTV).

Katanya, PBBPP akan memberi kad akses kepada pemilik kenderaan yang terdiri penduduk, peniaga, kontraktor, pembekal, agensi kerajaan serta mereka yang mempunyai permit bagi naik ke laluan itu.

“Antara usaha lain bagi memastikan kelancaran trafik di laluan dan sekitar kawasan atas Bukit Bendera ialah dengan diletakkan papan tanda notis peringatan had laju di sepanjang laluan jip berkenaan.

“Selain itu penyediaan kawasan tempat letak kereta dan motosikal, menghadkan kawasan yang boleh dimasuki, pengubahsu­aian segi tiga ke bulatan pemasangan bollard ke kawasan tumpuan utama serta penetapan waktu bagi meletak dan memunggah barang,” katanya ketika Pelaksanaa­n Peraturan-peraturan Perbadanan Bukit Bendera (Kawalan Lalulintas 2022) di Taman Botani di sini, semalam.

Menurut Zairil lagi, PBBPP juga bercadang bagi mewujudkan Seksyen Pengurusan Trafik Bukit Bendera.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia