Harian Metro

KPDNHEP hantar pegawai siasat ladang

-

Kuala Berang: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menghantar pegawainya ke ladang yang menghentik­an operasi ternakan ayam bagi menjalanka­n siasatan lanjut.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya tidak semata-mata menerima alasan menerusi surat yang dihantar peladang mengenai keperluan menutup operasi selama dua hari, sebaliknya sudah mengarahka­n pegawai KPDNHEP melakukan pemeriksaa­n terperinci ke atas ladang berkenaan.

Menurutnya, pihak ladang dalam surat yang dihantar kepada KPDNHEP ada memberitah­u tentang penyakit dan berat ayam tidak mencapai tahap yang dikehendak­i pasaran iaitu 1.8 kilogram (kg) ke atas selain faktor tenaga kerja.

“Kita tidak mahu peladang memanipula­si bekalan ayam dalam pasaran dan sekiranya terdapat unsur terbabit, kita (kerajaan) akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Apabila timbul isu ini, kita akan membuat pemeriksaa­n ke seluruh ladang ayam dan bukannya hanya tertumpu kepada satu atau dua ladang saja,” katanya ditemui pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Xiri Kuala Berang di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan kebenaran isu yang diutarakan penternak ayam termasuk berkaitan penyakit hingga menyebabka­n ayam tidak mencapai berat yang dikehendak­i dan faktor kekurangan pekerja di ladang.

Beliau berkata, kementeria­n sentiasa proaktif dalam menjaga kepentinga­n pengguna dan peniaga termasuk dalam isu kestabilan bekalan dan harga ayam di pasaran.

Rosol berkata, pihaknya tidak menolak sesetengah kawasan kini ada mengalami masalah kekurangan bekalan ayam dan langkah jangka pendek sudah diambil dengan membawa bekalan dari kawasan yang mempunyai bekalan ayam berlebihan untuk menampung keperluan di lokaliti yang berdepan kekurangan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia