Harian Metro

Ada lagi tadika bakal tutup selepas 42 henti operasi akibat HFMD

-

Larut: Dijangka lebih banyak tadika di Perak ditutup susulan peningkata­n kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) sehingga Minggu Epide ke-19 tahun ini yang berakhir pada 14 Mei lalu.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata sehingga semalam, sebanyak 42 tadika ditutup susulan wabak itu.

Menurutnya, ada tadika yang ditutup minggu lalu dan terdapat juga yang ditutup secara sukarela secara berperingk­at.

“Minggu lalu kenaikan 10 peratus kes dicatatkan manakala pada minggu ini kenaikan 15 peratus dari biasa.

“Semua tadika ini akan ditutup sementara sehingga kes selesai dan kita nasihatkan semua pihak berhati-hati serta mengikut nasihat Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung penularan HFMD,” katanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Perikatan Nasional Larut di Dewan Majlis Daerah Selama di sini, semalam.

Menurut Mohd Akmal, penutupan itu dibuat secara sukarela dan arahan mengikut Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan daerah Kinta mencatatka­n penutupan tadika tertinggi iaitu 20 dan diikuti daerah Perak Tengah sebanyak enam.

Kelmarin Mohd Akmal dalam laman sosialnya mendedahka­n jumlah kes HFMD secara keseluruha­n adalah 2,638 kes, berbanding hanya 159 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021 sekali gus menunjukka­n peningkata­n kes sebanyak 15.6 kali ganda.

Daripada jumlah itu, kes tertinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah iaitu 2,465 kes, diikuti 150 kes dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dan 23 kes yang berumur melebihi 12 tahun.

Semua tadika ditutup sementara sehingga kes selesai

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia