Harian Metro

Polis bongkar sindiket edar dadah guna kurier

-

Kuching: Polis menumpaska­n satu sindiket pengedaran dadah menggunaka­n perkhidmat­an kurier di bandar raya Miri selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam operasi khas yang berakhir kelmarin.

Pesuruhjay­a Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi membabitka­n Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Miri selama dua hari itu merampas kira-kira enam kilogram dadah jenis syabu, selain pil dan jus khayal bernilai RM219,885.

“Tangkapan pertama seorang lelaki berusia 37 tahun di hadapan sebuah premis syarikat perkhidmat­an kurier jam 4.30 petang 18 Mei. Satu bungkusan kotak barangan elektrik bersama tiga kilogram syabu bernilai RM108,000 dirampas daripada lelaki terbabit,” katanya.

Susulan kejayaan itu, polis menahan seorang lagi suspek lelaki berusia 17 tahun di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Permyjaya di Miri jam 4.50 petang sebelum seorang wanita berumur 22 tahun ditahan 10 minit kemudian di kawasan sama.

Tangkapan itu membawa kepada penemuan dua paket jus ekstasi bernilai RM1,500, sebanyak 130 biji pil Erimin 5 bernilai RM1,950 dan 29 biji pil ekstasi bernilai RM435 di sebuah rumah kedai di Jalan Miri Airport.

Kira-kira 10.30 pagi hari ini, pasukan operasi itu berjaya memintas cubaan membawa masuk kira-kira tiga kilogram dadah jenis syabu di premis sebuah syarikat perkhidmat­an kurier di bandar raya itu.

Menurut Mohd Azman, semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dengan dua daripada mereka didapati positif dadah.

Polis turut menyita dua buah kereta dianggarka­n bernilai RM50,000 dipercayai digunakan sindiket itu dan semua suspek ditahan reman lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia