Harian Metro

‘USTAZ TAK SIHAT’

Mawi ulas keadaan kesihatan Ustaz Kazim bukan gimik

- Oleh Sudirman Mohd Tahir sudirman@hmetro.com.my

“Ustaz Kazim (Datuk Mohd Kazim Elias) tengah tak sihat. Ini bukan gimik. Saya tengok sendiri kulit ustaz, tiba-tiba keluar darah. Mana datang darah pun tak tahu,” kata penyanyi dan pengarah filem Zim Zim Ala Kazim, Mawi mengenai keadaan kesihatan pendakwah dan penceramah bebas itu.

Mawi, 41, atau nama sebenarnya Asmawi Ani ketika dihubungi berkata, Ustaz Kazim sudah mengadu sakit sehari sebelum mereka memulakan penggambar­an lagi sejak awal bulan ini.

Malah, Mawi berharap Ustaz Kazim yang melakonkan watak utama dapat bertahan hingga tamat penggambar­an yang berbaki 10 hari saja lagi.

“Sehari sebelum penggambar­an saya ada berjumpa dengan ustaz. Dia tunjuk kulit, muka kaki dan tangan naik bitnik-bintik. Jadi dia cakap, dia kurang yakin nak shooting. Perkara itu macam nak bagi malu pada dia. Saya tengok pun terkejut. Tapi dia kuatkan semangat dan komitmen 100 peratus.

“Ustaz cakap ‘benda’ ini datang setiap kali dia nak mulakan penggambar­an atau muncul di kaca TV. Seolah-olah ‘benda’ itu tahu saja setiap kali ustaz nak kerja. Dalam filem ini ustaz melakonkan watak utama. Insya-Allah ada lagi 10 hari nak habiskan penggambar­an.

“Harap dia masih boleh bertahan. Hujung hujung ni memang fokus babak ustaz saja,” katanya.

Menurut Mawi, dia tabik dengan semangat Ustaz Kazim yang melawan sakit dialami sepanjang penggambar­an dijalankan.

“Saya respect dia. Dia lawan benda ini. Dia bukan sakit kulit saja, tapi satu badan. Dia juga berasa miang badan, tak boleh nak tidur, rasa gelisah. Itu yang dia cakap. Tapi serah pada Allah.

“Kalau dia datang lokasi, boleh nampak dia lemah. Jadi, setiap kali kita set up kamera, saya minta dia rehat dalam kereta dulu. Kalau sudah sedia baru panggil. Ini pertama kali dia betul-betul berlakon dan bawa watak utama pula. Kiranya, cabaran untuk dia dan saya sebagai pengarah. Tapi dia tetap steady,” katanya.

Dalam masa sama, Mawi berkata, dia sehabis baik memastikan penampilan Ustaz Kazim di skrin dalam keadaan baik.

“Dalam skrin, setakat ini memang jaga betul-betul dari segi look dan penampilan. Apabila ada babak tak sihat, ia tak perlu dibuat-buat. Sebab dia memang tak sihat. Cuma babak sihat itu, kena gagahkan diri dan tunjukkan sihat,” katanya.

 ?? ?? MAWI
MAWI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia