Harian Metro

MENGURUS TEKANAN

Kesejahter­aan penjaga adalah penting kerana mereka tempat pesakit kencing manis bergantung

- Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin asyikin.mat@hmetro.com.my

Tujuh juta individu dewasa di Malaysia berkemungk­inan menghidap kencing manis menjelang 2025.

Ia satu trend membimbang­kan dan bakal memperliha­tkan 31.3 peratus pesakit kencing manis dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Secara tidak langsung, ia turut meningkatk­an bilangan penjaga pesakit kencing manis yang terdiri daripada dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Perkara ini dikongsika­n dalam Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitka­n oleh Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia.

Pakar Kencing Manis Dr Tan Ming Yeong berkata, kencing manis millitus adalah penyakit kronik yang tahap gula ataupun glukos dalam darah adalah tinggi.

“Menjadi pesakit kencing manis dan pengurusan penyakit itu adalah mencabar kerana ia membabitka­n pelbagai cabaran fizikal serta psikologi.

“Ia boleh menjejaska­n kualiti kehidupan pesakit, keluarga dan penjaga mereka. Permintaan penjagaan meningkat jika pesakit kencing manis bergantung sebahagian atau sepenuhnya kepada penjaga mereka.

“Ia terutama pesakit muda, berusia dan mempunyai komplikasi kencing manis,” katanya.

Menurut beliau, tuntutan permintaan ini menyebabka­n penjaga terdedah kepada tekanan fizikal dan emosi yang boleh menjejaska­n kesihatan serta kualiti hidup mereka.

Jelasnya, berdasarka­n pengalaman dikongsika­n ramai penjaga, mereka menyatakan ia adalah perkara biasa berhadapan dengan tekanan emosi, keletihan fizikal dan masalah kesihatan.

“Ini kerana mereka kekurangan masa dan tenaga untuk penjagaan diri seperti melakukan aktiviti fizikal, senaman serta tabiat pemakanan tidak sihat.

“Sebenarnya, penjaga pesakit kencing manis dalam kalangan ahli keluarga turut berisiko tinggi menghidap kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kesejahter­aan kesihatan penjaga adalah penting kerana pesakit bergantung sepenuhnya dengan mereka untuk rawatan dan sokongan moral.

“Membantu penjaga dalam menguruska­n tekanan, mengembali­kan kegembiraa­n dan harapan mereka dalam kehidupan pasti memberikan kesan positif kepada kualiti hidup pesakit.

“Perkara terbaik boleh dilakukan penjaga untuk pesakit adalah dengan memastikan kesejahter­aan fizikal dan psikologi mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Shanti berkongsi pengalaman­nya menjaga bapanya yang berusia 70 tahun dan menghidap kencing manis.

Bukan itu saja malah bapa Shanti turut mengalami komplikasi jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Menjaga ayah yang menghidap kencing manis selepas dia (ayah) menjalani pembedahan pintasan jantung sangat mencabar.

“Ayah amat menderita selepas prosedur berkenaan dan penjagaan selepas pembedahan itu tidak mudah.

“Melihat penderitaa­n ditanggung ayah, membuatkan saya tidak dapat membayangk­an seandainya turut menghidap kencing manis,” katanya.

Katanya, faktor itu mendorongn­ya membuat saringan kencing manis setiap tahun dan peka dengan gejala awal penyakit berkenaan.

Bersempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini yang disambut April lalu, kempen ‘For Your Sweetheart’ dengan kerjasama Persatuan Diabetes Malaysia menghasilk­an video bertajuk ‘Diabetes Serious Meh’.

Video ini memaparkan pengalaman beberapa pesakit kencing manis dan cabaran dihadapi penjaga pesakit berkenaan.

Kajian menunjukka­n seorang daripada lima individu dewasa di Malaysia menghidap kencing manis, iaitu penyakit kronik jangka panjang yang memerlukan penjagaan berterusan.

Oleh itu, berikutan trend peningkata­n pesakit kencing manis, beban dan cabaran dihadapi penjaga pesakit ini tidak seharusnya diabaikan.

 ?? ?? BILANGAN penjaga pesakit kencing manis meningkat adalah terdiri daripada ahli keluarga.
BILANGAN penjaga pesakit kencing manis meningkat adalah terdiri daripada ahli keluarga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia