Harian Metro

Mangsa ketua baharu kongsi gelap

-

Sungai Petani: Seorang lelaki yang maut ditembak dari jarak dekat berhampira­n sebuah restoran di Jalan Kampung Baru di sini, kelmarin dikatakan baru dilantik sebagai ketua sebuah kongsi gelap.

Menurut sumber, polis menyiasat sama ada kejadian terbabit berpunca daripada rasa tidak puas hati sesama ahli atau perebutan kuasa dalam kongsi gelap itu.

“Pelbagai kemungkina­n boleh berlaku termasuk elemen tidak puas hati atau berebut kuasa dalam kongsi gelap itu sendiri kerana mangsa dikatakan baru menjadi ketua.

“Selain itu, polis tidak menolak motif lain iaitu dendam daripada musuh kongsi gelap terbabit. Namun semuanya masih lagi dalam peringkat awal siasatan,” katanya.

Pada kejadian jam 12.38 tengah hari kelmarin, seorang lelaki berusia 36 tahun mati selepas terkena sekurang-kurangnya lapan das tembakan di muka serta badan.

Mangsa yang datang ke restoran bersama isteri, anak angkat dan rakan baru selesai membungkus makanan untuk dibawa pulang dan membuka pintu kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya.

Difahamkan, ketika itu, isteri serta anak mangsa masih berada dalam kedai.

Empat lelaki yang membonceng dua motosikal, dengan bertopi keledar berpenutup penuh serta berjaket menghampir­i sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa.

Sementara itu, sumber berkata, polis setakat ini menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga rakan mangsa bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan, suspek yang ditahan itu mengaku dia adalah ahli kongsi gelap dan mendakwa mangsa baru saja dilantik menjadi ketua.

“Suspek mendakwa yang dia tiada kaitan dengan kes tembak itu walaupun berada di lokasi ketika kejadian,” katanya.

Setakat ini, suspek masih lagi direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk G Suresh Kumar mengesahka­n penahanan seorang lelaki tempatan yang juga rakan mangsa namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia