Harian Metro

APMM cekup 4 tali barut

Dua penjawat awam antara ditahan kerana seludup masuk 119 Pati Rohingya

- Oleh Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my

Dua penjawat awam antara empat lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa kerana bersekongk­ol menyeludup masuk 119 pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya ke negara ini pada Selasa lalu.

Mereka menyembuny­ikan warga asing terbabit dalam ruangan petak ikan di bawah bot nelayan tempatan semata-mata untuk mengelak dikesan.

Bagaimanap­un, tindakan mereka digagalkan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah yang melakukan rondaan Op Aman di perairan Sungai Kedah, jam 9.20 malam.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, empat suspek terbabit berusia 32 hingga 39 tahun manakala etnik Rohingya terbabit pula berumur lima hingga 38 tahun dengan pecahan 47 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa, 17 kanak-kanak lelaki selain 23 kanak-kanak perempuan.

“Bagaimanap­un, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana mereka masuk ke sini dan urusan lain berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagan­gan Orang dan Penyeludup­an Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670).

Sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesemua suspek direman mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamata­n (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 4(5) selama tempoh 28 hari.

“Manakala kesemua migran disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan akan direman di bawah seksyen 51(1)(b) akta sama, selama tempoh 14 hari.

“Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya selain boleh dikenakan sebatan,” katanya.

 ?? ?? KEADAAN warga asing yang ditemui pihak berkuasa di bawah bot yang ditahan APMM.
KEADAAN warga asing yang ditemui pihak berkuasa di bawah bot yang ditahan APMM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia