Harian Metro

Pengasuh baran, budak pula degil!

-

Kuala Lumpur: Tidak dapat mengawal emosi baran selaku penjaga dikenal pasti sebagai punca ‘popular’ menyumbang kepada kes penderaan serta pengabaian kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, punca dikenal pasti dalam masalah itu boleh dibahagika­n kepada beberapa kategori termasuk masalah pelaku yang menyumbang jumlah kes paling tinggi.

“Dalam konteks ini, ada pelaku didapati panas baran dan memberi alasan kanak-kanak itu degil serta nakal, sekali gus menjadi punca utama mereka (pelaku) hilang kawalan diri.

“Selain itu, kami mengenal pasti punca lain iaitu kemalangan seperti terjatuh katil, tersedak susu, sawan, berlaku pendarahan dan sebagainya,” katanya.

Siti Kamsiah berkata, kecuaian dikenal pasti sebagai punca penderaan serta pengabaian kanak-kanak.

“Antaranya seperti tertinggal kanak-kanak dalam kereta dan terjatuh dalam kolam. Penjaga cuai dari segi penjagaan kanak-kanak sehingga menyebabka­n tragedi itu berlaku,” katanya.

Katanya, satu lagi punca dikenal pasti adalah ibu bapa mahupun penjaga memberi alasan memukul dengan niat untuk mendidik.

“Pelaku tidak tahu pukulan atau hukuman diberi

‘ Pelaku tidak tahu pukulan atau hukuman diberi melebihi had dan tidak patut dijadikan alasan untuk menghukum kanak-kanak”

Siti Kamsiah

melebihi had dan tidak patut dijadikan alasan untuk menghukum kanak-kanak.

“Hukuman diberi tidak setimpal dengan kesalahan tetapi mereka bagi alasan konon untuk mendidik.

“Ada satu kes kanak-kanak ini dipukul kerana dia bising serta lasak kerana mengganggu kanak-kanak lain dan dia dipukul sehingga ada kesan pada badannya.

“Malah, dia dipukul di tempat (anggota badan) yang tidak sepatutnya memandangk­an usianya baru tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata, berdasarka­n pengalaman siasatan dan soal siasat terhadap ibu bapa, tanda-tanda awal berlakunya penderaan terhadap kanak-kanak adalah ada kesan kecederaan seperti kemerahan.

“Pada peringkat awal, kanak-kanak tunjuk tanda penolakan kerana rasa tidak selesa ke pusat asuhan. Mereka mula menangis.

“Apabila ibu bapa lihat tanda ini, mereka perlu selidik kenapa anak tak selesa.

“Bandingkan keadaan anak-anak, adakah mereka jenis selalunya tidak kisah dihantar di mana-mana, namun pada hari itu dia tidak selesa dan menolak. Itu tanda awal kepada penderaan,” katanya.

Katanya, ibu bapa perlu melihat reaksi dan sikap anak-anak yang tiba-tiba murung dan menjadi diam serta pasif, sekali gus menunjukka­n mereka tidak selesa dengan persekitar­an baharu.

“Ada juga kesan penderaan yang tidak nampak kerana mungkin dia didera secara emosi seperti dibiarkan kelaparan atau sekatan tertentu yang menyebabka­n tiada kesan fizikal tetapi menunjukka­n kesan emosi.

“Jika perkara itu berlaku, ibu bapa perlu menyiasat dengan membuat pemeriksaa­n mengejut iaitu tidak mengikut rutin supaya boleh melihat sendiri perkara sebenar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia