Harian Metro

Nafi rasuah tutup kes jenayah komersial

-

Shah Alam: Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menerima rasuah RM16,000 pada Februari lalu.

Tertuduh, Azrol Khalil, 37, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan termasuk satu pertuduhan pilihan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Azrol didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM16,000 daripada seorang lelaki berusia 50 sebagai dorongan menutup kes jenayah komersial terhadap individu yang disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Dia yang kini bertugas di bahagian pentadbira­n didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Taman Prima, Sri Gombak, Batu Caves pada 7 Februari lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), dan boleh di hukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh sebagai penjawat awam didakwa menerima suatu barang berharga atau wang tunai dengan jumlah sama pada tarikh dan lokasi sama tanpa balasan dan dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melapor diri ke pejabat SPRM serta menyerahka­n pasport kepada mahkamah.

Peguam mewakili tertuduh, PG Cyril memohon wang jaminan dikurangka­n kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya bergantung kepada pendapatan isteri untuk menyara keluarga.

Katanya, tertuduh kini menerima gaji RM1,700 dan menanggung isteri serta tiga anak tiri yang tinggal di kuarters kakitangan awam di Hospital Serdang.

Hakim membenarka­n tertuduh diikat jamin RM8,000 dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor awal setiap bulan sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 28 Jun depan.

 ?? ?? AZROL mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.
AZROL mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di Mahkamah Sesyen di Shah Alam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia