Harian Metro

UJIAN MUSTAPAH

Rumah kakitangan MBMB bakal bersara hangus dijilat api

- Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad am@hmetro.com.my

Bakal bersara 10 hari lagi namun musibah menimpa seorang kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) apabila rumah didiami di Kampung Duyung di sini, musnah dijilat api.

Mangsa, Mustapah Baba, 60, berkata, kejadian disedari kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin ketika dia pulang membawa juadah makan tengah hari untuk isteri dan dua anaknya.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia dihubungi isteri, Waidah Hashim, 56, yang memintanya membelikan lauk.

“Isteri saya menghidap kanser paru-paru dan otak tahap empat. Selepas beli lauk di Semabok, saya menunggang motosikal pulang ke rumah. “Namun saya terkejut melihat kepulan asap hitam dan kebakaran dipercayai akibat litar pintas pada periuk nasi elektrik. “Saya bergegas masuk ke dalam rumah dan menyuruh isteri dan anak keluar menyelamat­kan diri kerana api semakin marak di bahagian dapur,” katanya, semalam.

Mustapah yang juga pemandu di Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBMB berkata, walaupun bersedih melihat kemusnahan rumah didiami sejak 35 tahun lalu namun dia reda dengan ketentuan Allah SWT. “Alhamdulil­lah isteri dan anak-anak selamat. Harta boleh cari, tapi nyawa keluarga lebih penting,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Ahmad Zulhazwan Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.51 tengah hari.

Katanya, seramai 11 anggota bersama dengan dua jentera, masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dan BBP Ayer Keroh serta dua water tanker dari BBP Ayer Keroh terbabit operasi memadam kebakaran itu yang tamat pada jam 3.34 petang.

“Harta boleh cari, tapi nyawa keluarga lebih penting

Mustapah

 ?? ?? AHLI keluarga, kenalan dan kakitangan MBMB membantu membersihk­an sisa kebakaran di rumah Mustapah.
AHLI keluarga, kenalan dan kakitangan MBMB membantu membersihk­an sisa kebakaran di rumah Mustapah.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia