Harian Metro

Selawat peneman warga emas ketika sesat dalam hutan

-

Tumpat: Doa dan selawat tidak pernah lekang di bibir warga emas ini sepanjang tujuh hari dia hilang di dusun durian dan buah-buahan di Kampung Pasir Dusun, Jeli.

Yaakub Ismail, 76, percaya dengan izin Allah SWT dan berkat kesungguha­nnya untuk bersatu kembali dengan keluarga, menjadi kekuatan dan membolehka­n dia tenang sehingga ditemui penduduk kampung pada jam 6.45 petang, Rabu lalu.

Sebelum itu, Yaakub hilang sejak 19 Mei ketika berada di dusun buah-buahan miliknya di kampung berkenaan.

“Sepanjang tujuh hari sesat dalam hutan, saya sentiasa berselawat dan yang peliknya, tak pernah rasa lapar walaupun hanya mengalas perut dengan air sahaja.

“Saya sentiasa berdoa agar ditunjukka­n jalan pulang kerana letih berjalan, sampai satu tahap saya hampir putus asa dan ‘menyeru’ harimau agar muncul dan bantu saya tunjukkan jalan untuk pulang walaupun tahu cara itu berisiko jika raja hutan itu betul-betul muncul.

“Apabila siang, saya akan berjalan mencari jalan keluar dan hanya berehat ketika malam sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berangan Masjid di sini.

Ceritanya lagi, ketika hari kehilangan itu dia hanya mahu melihat tanah seluas 4.8 hektar yang hampir keseluruha­nnya ditanam dengan pokok buah-buahan.

Katanya, dia ke situ bersama dua anak dan sudah bertani di kawasan berkenaan sejak 30 tahun lalu.

“Ketika itu jam 11 pagi dan saya berjalan melihat-lihat kawasan berseorang­an, tanpa sedar langkah sudah semakin jauh dari kebun, sehingga ke laluan yang ditumbuhi rumput tapi hati masih lagi ingin meneruskan perjalanan.

“Sehinggala­h saya tiba di kaki bukit dan ketika itu saya tengok jam sudah 2 petang. Maknanya saya sudah jauh berjalan. Ketika nak kembali ke kebun semula barulah saya sedar sudah sesat,” katanya yang memberitah­u dia membawa pokok durian jenis Musang King untuk ditanam sebelum meninjau kawasan dan tersesat.

Terdahulu, Yaakub dikunjungi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanya khabar dan mendengar cerita warga emas itu sepanjang sesat.

Pesara kerajaan itu juga memberitah­u dia hampir lemas ketika membersihk­an diri di kawasan air terjun dan golok yang sentiasa di sisi turut terjatuh, selain telefon bimbit hilang.

“Seluar saya habis koyak kerana terkena duri pokok rotan dan agak terkilan kerana sepanjang sesat itu, saya tidak dapat menunaikan solat disebabkan pakaian tidak sempurna.

“Perasaan takut langsung tiada, cuma agak cuak pada waktu malam kerana terganggu dengan bunyi babi hutan dan pernah nampak tompok najis gajah.

“Saya rasa sangat lega apabila dengar sayup-sayup suara penduduk kampung yang mencari pada petang Rabu lalu. Alhamdulil­lah saya syukur. Terkejut saya apabila tiba, ramai yang menyambut ketibaan saya,” katanya yang memberitah­u tidak serik untuk kembali ke kebunnya tetapi tidak akan berjalan sendirian lagi.

 ?? - Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR ?? CHE Abdullah (kiri) hadir melawat Yaakub di rumahnya di Kampung Berangan Masjid, Kelantan.
- Gambar NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR CHE Abdullah (kiri) hadir melawat Yaakub di rumahnya di Kampung Berangan Masjid, Kelantan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia