Harian Metro

Kapasiti pelawat bergantung kepada pesakit dalam wad

-

Shah Alam: Tidak timbul isu berikutan seorang pelawat dibenarkan melawat pesakit selama 30 minit pada satu-satu masa dan kapasiti pelawat bergantung kepada jumlah pesakit dalam satu wad.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, beliau memandang serius dakwaan bahawa waris pesakit di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang perlu melalui prosedur ketat untuk melawat walaupun sudah diberikan kebenaran oleh pegawai perubatan.

Menurutnya, siasatan segera dilaksanak­an berhubung dakwaan turut tular di media sosial itu.

Beliau berkata, pada 21 April lalu Ketua Pengarah Kesihatan mengumumka­n bahawa selaras dengan hala tuju negara ke arah endemik, pelawat dan penjaga dibenarkan hadir di fasiliti kesihatan semula bermula 23 April lalu.

Katanya, surat edaran Ketua Pengarah Kesihatan yang menggarisk­an tatacara pelawat dan penjaga turut diedarkan JKNS ke semua fasiliti di negeri ini.

“Bagi HTAR, satu Mesyuarat Penyelaras­an Polisi Pelawat dan Penjaga diadakan di peringkat hospital itu pada 25 April lalu untuk merangka serta membentuk polisi pelawat dan penjaga. Polisi berkenaan disesuaika­n dengan garis panduan yang sudah dikeluarka­n.

“Tujuan utama adalah untuk mengawal kesesakan di wad semasa waktu melawat dan antara langkah yang dilakukan oleh pihak HTAR adalah dengan mengeluark­an pas lawatan supaya pihak pengurusan wad dapat menentukan jumlah pelawat pada setiap satu sesi lawatan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, seorang pelawat dibenarkan melawat pesakit selama 30 minit sahaja pada satu-satu masa dan kapasiti pelawat pada setiap satu masa bergantung kepada jumlah pesakit dalam satu wad.

Jelasnya, jumlah pelawat tidak melebihi 50 orang pada setiap sesi lawatan dan penambahan pelawat boleh dibenarkan untuk kes-kes tertentu serta boleh diubah suai mengikut keadaan.

“Dalam masa yang sama, pihak JKNS akan memastikan dasar dan peraturan yang ditetapkan dalam polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat di Hospital KKM semasa Fasa Peralihan ke Endemik Covid-19 dikuatkuas­akan dengan sebaik-sebaiknya.

“Justeru itu, pihak JKNS ingin memaklumka­n bahawa polisi pelawat dan penjaga yang disesuaika­n dengan keperluan HTAR disediakan dengan bertujuan baik dan tiada halangan atas pelawat-pelawat yang ingin menziarahi pesakit, namun perlu mematuhi garis panduan sedia ada,” katanya.

Bilangan pelawat tidak lebih 50 orang pada setiap sesi lawatan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia