Harian Metro

MASA TERBAIK JUARA ASIA

Skuad hoki negara layak ke Piala Dunia 2023

- Oleh Aida Adilah Mat aida_adilah@hmetro.com.my

Tahun 2022 adalah peluang terbaik untuk skuad hoki negara melakar sejarah muncul sebagai juara Piala Asia.

Itu nada diluahkan penyerang negara, Faizal Saari yang kini dilabel penyerang nombor satu kebangsaan selepas beberapa kali muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia (MHL).

Malah dia turut meledakkan tiga gol ketika membelasah Bangladesh 8-1 selain turut mencatatka­n nama sebagai penjaring ketika membenam Oman 7-0 dalam saingan di Jakarta.

Turut senada dengan pemain itu, pengendali skuad senior lelaki, A Arulselvar­aj yang menjelaska­n bagi fasa 2022, hasrat pasukan bimbingann­ya adalah untuk memenangi kejohanan di peringkat Asia terlebih dahulu sebelum memburu sasaran selanjutny­a.

“Misi pasukan dan misi Konfederas­i Hoki Malaysia (MHC) adalah layak ke Piala Dunia 2023 jadi misi itu tercapai kini yang tinggal adalah misi pemain iaitu hasrat mereka memenangi Piala Asia 2022.

“Semuanya terletak kepada pemain untuk menggapai hasrat itu demi Malaysia dan terutama untuk MHC.

“Sukan Asia tahun ini ditunda dan ini bermakna Piala Asia 2022 adalah satu-satunya kejohanan yang tinggal di peringkat Asia,” katanya.

Saingan Super 4 menyaksika­n aksi liga sepusingan dengan dua pasukan teratas layak beraksi di pentas final.

Sejak kejohanan itu diperkenal­kan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara pada 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan itu apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.

Malaysian Tigers akan membuat penampilan kali kesembilan di Piala Dunia yang dijadualka­n berlangsun­g pada 13 hingga 29 Januari 2023 di India.

Terdahulu, skuad negara bimbingan Arul Selvaraj mara ke saingan Super 4 selaku juara Kumpulan B selepas menang semua tiga perlawanan termasuk menewaskan Korea Selatan, Oman dan Bangladesh.

Empat pasukan daripada benua Asia iaitu Malaysia, Jepun, India dan Korea Selatan menyertai 12 lagi pasukan di Piala Dunia 2023 iaitu Belgium, England, Jerman, Belanda, Sepanyol, Perancis, Wales, Afrika Selatan, Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Malaysia meneruskan aksi di Piala Asia 2022 dalam pusingan Super 4 dengan lawan pertama yang menanti mereka adalah Korea Selatan jam 5 petang ini waktu Malaysia.

 ?? ?? AKSI pemain Malaysia ketika bertemu Bangladesh.
AKSI pemain Malaysia ketika bertemu Bangladesh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia