Harian Metro

Pemandu Wira Aeroback lawan arus

-

Shah Alam: Pemandu Proton Wira Aeroback yang maut dalam kemalangan membabitka­n dua kenderaan di Kilometer 12.8, Lebuhraya Lembah Klang (NKVE) pagi semalam, dikatakan memandu secara melawan arus.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berusia 28 tahun secara melawan arus dari arah Kuala Lumpur ke Klang.

“Tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya bertembung dengan Proton Wira sedan yang dipandu seorang lelaki bersama seorang penumpang lelaki dan dua penumpang wanita.

“Kedua-dua pemandu kereta serta dua penumpang Proton Wira sedan disahkan meninggal dunia di lokasi. Seorang lagi penumpang Proton Wira sedan parah.

“Mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, siasatan mendapati semua mangsa yang menaiki Proton Wira sedan adalah rakan dan dipercayai hendak ke Pulau Pinang.

“Menurut waris pemandu Proton Wira sedan, mangsa hendak ke Pulau Pinang, tetapi waris tidak pasti mengapa mangsa berada di kawasan Shah Alam.

“Siasatan juga mendapati, pemandu serta dua penumpang itu beralamat di Negeri Sembilan manakala seorang lagi beralamat di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan kes kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkut­an Jalan (APJ) 1987.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia