Harian Metro

Kes bunuh: Isteri, adik kandung ditahan

-

Shah Alam: Dua individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki di Seksyen 25, dekat sini, pada tengah malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dua suspek itu adalah isteri serta adik kandung mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dibunuh selepas kedua-dua suspek berang kerana mangsa sering mabuk.

“Pada kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 42 tahun mati di tempat kejadian dengan lima kesan tetakan di belakang kepala, satu kesan lebam di badan, koyakan di bibir dan bengkak di pipi disyaki akibat dipukul senjata tumpul.

“Difahamkan, isteri mangsa turut memukul mangsa yang mabuk hingga rebah kerana berang dengan sikapnya yang kaki mabuk.

“Suspek wanita berusia 40 tahun dan lelaki berumur 29 tahun itu ditahan jam 3 petang semalam (kelmarin) iaitu dalam tempoh 24 jam selepas mangsa dibunuh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, siasatan ketika ini mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat kerana marah dengan sikap mangsa malah mereka tidak mempunyai sebarang hubungan sulit.

Katanya, mangsa dan isteri sudah 18 tahun berkahwin serta mempunyai tiga anak berusia empat hingga 16 tahun manakala suspek lelaki yang juga penuntut sebuah kolej swasta baru sahaja tinggal di rumah abangnya sejak enam bulan lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia