Harian Metro

Sila buat laporan jika wujud unsur rasuah kepada pihak berkuasa: MPK

-

Shah Alam: Majlis Perbandara­n Klang (MPK) mengalu-alukan individu yang mendakwa terdapat unsur rasuah dalam pemberian permit ubah suai rumah jirannya hingga menyebabka­n kerosakan pada rumah individu terbabit supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata, susulan dakwaan rasuah terbabit yang tular menerusi media sosial, pihaknya mengalu-alukan individu berkenaan membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dilakukan ke atas mana-mana kakitangan disyaki.

“MPK menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti serta tidak akan berkomprom­i dalam isu membabitka­n rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes itu, Norfiza berkata, permit ubah suai dan pelan lulus didapati dikeluarka­n kepada perunding pada 2012 dan ubah suai rumah terbabit juga telah mendapat persetujua­n jiran.

Beliau berkata, aduan dikemukaka­n pengadu selepas kelulusan diberi juga sudah diambil tindakan MPK.

“Sebelum ini perunding juga sudah dilantik bagi mengenal pasti punca keretakan dan perakuan kekukuhan struktur tambahan rumah terbabit,” katanya.

Menurut Norfiza, MPK tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas individu mengeluark­an kenyataan berbaur fitnah terhadap pengurusan tertinggi dan pegawai serta kakitangan MPK terutama tuduhan dikaitkan dengan rasuah atau salah laku moral yang lain.

Terdahulu, tular menerusi aplikasi TikTok seorang pemilik akaun itu mendakwa rumahnya rosak akibat kelulusan yang diberikan MPK kepada jirannya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia