Harian Metro

66 kena tahan berhibur melebihi had masa

-

Johor Bahru: Seramai 66 individu termasuk seorang penjawat awam dan seorang remaja perempuan bawah umur ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini yang beroperasi melebihi had masa, awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor Asisten Komisioner Mohd Afzanizam Yahaya berkata, operasi khas yang dijalankan kira-kira pukul 2 pagi itu melibatkan lima pegawai dan 22 anggota JSJN bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor

Bahru Selatan.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan berumur dalam lingkungan 17 hingga 41 tahun, selain turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang mengaku sebagai pengurus premis terbabit.

“Kita sudah melakukan pemeriksaa­n terhadap 180 individu yang sedang berhibur dan hasil saringan awal air kencing mendapati 34 lelaki termasuk seorang penjawat awam yang berusia 29 tahun serta 18 wanita termasuk remaja perempuan bawah umur didapati positif dadah jenis ketamin dan methamphet­amine.

“Hasil pemeriksaa­n turut mendapati premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan yang sah sehingga 30 Jun depan namun didapati beroperasi melebihi had yang dibenarkan iaitu bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Afzanizam berkata, 19 warga asing yang turut terlibat dalam tangkapan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan, berikutan menyalah gunakan pas lawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan Negeri Johor 4/98 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia