Harian Metro

Tak kesampaian buat kejutan hari lahir

-

Jerantut: Perancanga­n anak-anak dan menantu mahu membuat kejutan hari lahir buat ibu bapa mereka di sebuah hotel pada bulan depan tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 192.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 petang itu, pesara polis Abd Talib Akob, 73, dan isterinya Fuziah Mohd Marzuki, 62, dari Taman Muhibbah di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala anaknya yang juga pemandu Mitsubishi Triton Muhamad Taufik, 34, parah di bahagian kepala sementara isterinya Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32. cedera ringan.

Anak ketiga Allahyarha­m, Muhamed Tarfizam, 40, berkata bapanya akan menyambut ulang tahun kelahiran pada 3 Julai manakala ibunya pula pada 18 Julai depan.

Menurutnya, mereka merancang membuat majlis sambutan hari jadi ibu bapanya selepas menghadiri majlis perkahwina­n saudara di Kuantan pada bulan depan.

“Kami berpakat untuk bermalam di sebuah hotel (di Kuantan) dan pada malam itu mahu membuat kejutan sambutan hari jadi untuk ayah dan emak.

“Bagaimanap­un, hasrat kami tidak kesampaian apabila ayah dan emak pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Muhamed Tarfizam berkata, sebelum kejadian ibu bapanya bertolak dari rumah di Jerantut pada petang Jumaat lalu dengan menaiki Mitsubishi Triton bersama Muhamad Taufik serta isteri adiknya sebelum mereka bermalam di Mentakab.

Menurutnya, ibu bapanya bermalam di rumah abang sulung di Kuantan untuk mengikuti kursus umrah di Masjid Indera Mahkota, Kuantan, kelmarin.

Katanya, sebaik kursus umrah berakhir, mereka ke Kuantan untuk membuat pasport sebelum bertolak pulang ke Jerantut, kira-kira jam 4 petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia