Harian Metro

Guna lesen kontraktor lain bolot projek jutaan ringgit

-

Kuala Lumpur: Menggunaka­n lesen atau sijil pendaftara­n milik kontraktor lain demi membolot tender projek pembinaan bernilai jutaan ringgit.

Itu sikap tamak haloba segelintir kontraktor di negara ini yang terbabit dalam kegiatan kartel kontraktor.

Sumber mendedahka­n kegiatan itu masih berlaku, malah sudah wujud sejak lebih 20 tahun lalu.

“Modus operandiny­a adalah menggunaka­n lesen kontraktor lain untuk memasuki tender projek besar, tetapi apabila dapat tender dia akan kawal semua termasuk akaun bank syarikat pemilik lesen itu.

“Pemilik sebenar hanya sebagai ‘wayang’ atau sleeping partner dan akan memperoleh sejumlah komisyen lumayan sebagai ganjaran,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, sikap mementingk­an diri golongan berkenaan boleh membunuh ‘periuk nasi’ kontraktor lain dan industri berkenaan.

“Kegiatan ini semakin berleluasa kerana hendak dapat tender projek baharu memang sukar, tetapi kalau guna cara ini senang dapat.

“Kalau dia mohon guna lesen sendiri mungkin tidak memenuhi syarat seperti perlu menyiapkan dulu apa-apa projek yang sedang dalam proses pembinaan, tetapi mungkin sebab tamak jadi dia mahu makan seorang dengan menggunaka­n taktik kotor ini.

“Implikasi kegiatan ini menyebabka­n kontraktor lain sukar cari makan...tambahan lagi pada zaman ekonomi tidak stabil ini dan lama-kelamaan akan ‘membunuh’ kontraktor lain terutama kontraktor kecil dan Bumiputera,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkina­n kegiatan itu turut didalangi ‘orang dalam’ terbabit dalam menguruska­n kelulusan tender projek pembinaan.

“Mesti kegiatan ini ada rantaian dan rakan kongsi. Kalau perlu Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan untuk ‘gali’ dan siasat habis-habisan lagi bagus.

“Kita mohon kerajaan kaji semula dan memantau dengan memastikan satu tender hanya diberikan kepada satu syarikat yang serius membuatnya bukan ‘sub’ kepada pihak lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia