Harian Metro

Fokus baham Bangladesh

Misi Harimau Malaya buru tujuh mata lebur apabila kecundang di tangan Bahrain

- Oleh Syazwan Msar mohdsyazwa­n@hmetro.com.my

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon enggan meratapi kekalahan kepada Bahrain, sebaliknya mahu memberikan fokus sepenuhnya membaham Bangladesh pada perlawanan terakhir kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, malam esok.

Terdahulu, misi skuad Harimau Malaya memburu tujuh mata untuk layak ke Piala Asia 2023 lebur apabila tumbang 1-2 di tangan Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Kekalahan itu menyaksika­n skuad negara mesti menang besar menentang Bangladesh untuk menjadi antara lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan.

Pan-gon berkata, aksi berdepan Bahrain sewajarnya menjadi pengajaran berguna buat barisan pemainnya dan menuntut kebangkita­n pada aksi penentuan berdepan Bangladesh nanti.

“Saya tidak boleh merungut kerana pemain sudah memberikan yang terbaik. Kita tidak boleh melonjak daripada sini (kedudukan sekarang) ke tempat lebih tinggi hanya dalam beberapa hari.

“Setiap tahun kita akan berdepan pelbagai kejohanan dan bola sepak sentiasa berterusan. Berapa banyak yang kita belajar, berapa banyak kita boleh tingkatkan, kita tidak perlu kecewa dan terlalu bersedih.

“Kita perlu yakin dan bangga dengan apa yang sudah kita lakukan. Kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya kerana saya rasa ini adalah caranya sebagai seorang profesiona­l untuk mewakili negara.

“Pada masa sama, harus betulkan kesilapan dan tunjukkan semangat untuk mencapai sasaran seperti dimahukan penyokong. Inilah caranya kerana tiada masa untuk menyesal dan kecewa,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pan-gon enggan mengulas mengenai tindakan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias yang gagal menangkap kemas bola sebelum membentes pemain lawan, sekali gus menghadiah­kan penalti kepada Bahrain.

Beliau berkata, berkata apa yang berlaku dalam aksi itu akan dinilai pasukan bimbingann­ya sebelum keputusan dibuat menjelang perlawanan terakhir dengan Bangladesh.

“Saya tidak akan mengulas mengenai perkara peribadi, ini semua akan dianalisis dan keputusan dibuat pasukan kejurulati­han kami.

“Kita ada perancanga­n dan ada semangat berpasukan lebih tinggi. Apa yang pasti kita tidak boleh terlepas peluang untuk ke pusingan akhir dan pemain tahu betapa pentingnya perlawanan terakhir nanti,” katanya.

Pan-gon mengakui tumpuannya lebih terarah kepada persiapan skuad negara dan enggan memikirkan mengenai Bangladesh yang menggunaka­n skuad sama dalam dua perlawanan awal.

 ?? ?? PEMAIN Harimau Malaya, Safawi Rasid diasak pemain Bahrain pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.
PEMAIN Harimau Malaya, Safawi Rasid diasak pemain Bahrain pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia