Harian Metro

‘Tak sanggup lihat mereka lapar’

Personalit­i TikTok sering beri makanan kepada kucing jalanan, anjing liar sejak di bangku sekolah

- Oleh Redzuan Muharam am@hmetro.com.my

“Biar saya yang berlapar, jangan haiwan,” kata personalit­i TikTok, Muhammad Faiz Basirun.

Muhammad Faiz, 20, yang menetap di Kampung Kumpulan A di sini, menarik perhatian netizen kerana sering berkongsi rutinnya memberi makan kepada anjing liar.

Berkongsi kisahnya, Muhammad Faiz mengakui dirinya adalah pencinta haiwan sejak kecil.

Katanya, aktiviti memberi makanan kepada haiwan terutama kucing jalanan dan anjing liar juga sudah dilakukan sejak di bangku sekolah, cuma kini lebih serius, malah menjadi kemestian setiap hari.

“Saya pernah memelihara lima kucing namun semuanya mati kerana jangkitan virus Parvo dan punca lain.

“Sejak itu, saya tidak bela kucing namun masih beri makanan jika ternampak di jalanan.

“Saya juga suka beri makanan kepada anjing, cuma mula serius sejak Ramadan lalu selepas dihampiri sekumpulan anjing liar ketika makan di satu kawasan.

“Mulanya tidak berani juga namun keadaan anjing itu yang nampak kurus, tidak terurus dan seperti mahu memberitah­u lapar membuatkan saya tidak sampai hati hingga akhirnya membantuny­a,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, aktiviti memberi makan kepada kumpulan anjing liar dilakukan setiap hari dan setakat ini dia belum pernah dicederaka­n.

Sebaliknya, katanya, kumpulan anjing itu jinak dengannya dan setiap kali memberi makan, dia akan merakam video untuk kenangan dan memuat naiknya di TikTok.

“Pada awalnya saya rakam dan kongsi di TikTok untuk suka-suka sahaja, tetapi tidak sangka pula video itu dapat perhatian hingga meraih tontonan tinggi.

“Ramai turut sama berminat untuk membantu anjing itu dengan memberi wang dan tidak kurang juga menghantar makanan ke rumah namun yang buat saya lebih terharu apabila Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan untuk membantu serta bertemu saya kira-kira tiga bulan lalu.

“Boleh dikatakan, 95 peratus komen diterima di TikTok positif, tetapi ada juga kecaman daripada segelintir individu yang mempertika­i tindakan saya yang dilihat lebih cenderung beri makanan kepada anjing dan bukannya kucing.

“Sedangkan saya buat begitu kerana tidak ramai mahu membantu anjing, malah melihatnya sebagai haiwan yang agresif dan boleh mencederak­an.

“Kesannya anjing liar itu kelaparan dan salah satu sebab juga ia berkeliara­n serta mendekati manusia,” katanya yang pernah menyambung pengajian Diploma Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) namun berhenti sebelum tamat semester satu kerana menjaga neneknya, Che Dah Zakaria yang sudah meninggal dunia, April lalu.

 ?? ?? MUHAMMAD Faiz suka memberi makanan kepada anjing liar.
MUHAMMAD Faiz suka memberi makanan kepada anjing liar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia