Harian Metro

Kerbau ‘pink’ jadi rakan karib

-

Marang: Bergeluman­g dengan dunia ternakan sejak kecil membuatkan seorang remaja perempuan tidak kekok untuk menjaga dua kerbau albino bernama Abu dan Ali yang dipelihara­nya sejak dua tahun lalu.

Wan Nur Zahirah Wan Zunaidi, 18, atau lebih mesra dengan panggilan Along dari Kampung Padang Limau Nipis, dekat sini, berkata dia mengambil masa lebih setahun untuk menjinakka­n kerbau ‘pink’ berkenaan selepas dibawa pulang oleh bapanya.

Menurutnya, kedua-dua kerbau berkenaan adalah anak kerbau milik bapanya yang diternak di Kampung Kubang Palas, Telemong, Hulu Terengganu dan rutin hariannya ialah memotong rumput sebelum membawanya pulang ke kandang pada waktu pagi.

“Selepas selesai cerut (potong) rumput, saya akan basuh kandang kerbau dan lembu, diikuti dengan memberi makan kepada semua ternakan berkenaan.

“Pada waktu petang pula, saya memberi makan kepada kerbau dan lembu, manakala kira-kira jam 10 malam saya akan ke kandang lagi untuk memberi makan, membersih kandang dan memandikan kerbau.

“Badan kerbau perlu sentiasa sejuk dan disebabkan dua kerbau ‘pink’ berada di dalam kandang maka saya perlu menjaganya dengan baik termasuk memandikan­nya,” katanya yang juga anak sulung daripada lima beradik.

Menurutnya, kedua-dua kerbau ‘pink’ itu berusia dua tahun dan bapanya Wan Zunaidi Wan Jaafar, 45, membawa pulang kerbau itu ketika usianya mencecah tiga bulan.

Katanya, sebelum ini ada individu mahu membeli Abu dan Ali, namun dia tidak membenarka­n bapanya menjual kedua-dua kerbau kesayangan­nya itu.

“Pendedahan berkaitan pemelihara­an ternakan sejak berusia tujuh tahun membuatkan saya tidak kekok untuk menjaga haiwan itu dan menganggap perkara biasa apabila perlu membersihk­an kandang yang dipenuhi najis haiwan.

“Saya rasa selesa melakukan kerja ini kerana ia menyeronok­kan selain menghilang­kan tekanan, ditambah pula Abu amat jinak selain menjadi rakan karib ketika saya berada di kandang,” katanya.

Sementara itu, Wan Zunaidi berkata, dia sendiri didedahkan dengan dunia ternakan sejak berusia lima tahun dan urusan menjaga kerbau serta lembu turut dibantu isterinya Suzira Ismail, 40, bersama anak-anaknya.

“Hingga kini saya mempunyai 40 ekor kerbau termasuk dua albino di mana hanya empat berada di kandang di Marang manakala selebihnya berada di Kubang Palas, Telemong, Hulu Terengganu.

“Ada individu yang ingin membeli Abu dengan harga RM8,000 manakala Ali RM7,000 namun saya tidak menjualnya,” katanya yang turut menternak 12 ekor lembu.

Menurutnya, seekor lagi kerbau yang digunakan sebagai denak dipanggil King dengan berat lebih satu tan berusia empat tahun juga pernah ditawar pada harga RM25,000 namun dia tidak berhajat untuk menjualnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia