Harian Metro

Mengajar biar bersanad

Untuk mengajar kitab fiqh, seseorang hendaklah ada sanad yang bersambung kerana jika seseorang cuba mengupas sesuatu ilmu yang dia tidak mempunyai sanad bermakna dia tidak berkeahlia­n untuk mengajarny­a

-

Baru-baru ini wujud satu video daripada seorang pendakwah yang sedang mengajar kitab Mazhab al-Shafii berjudul al-Iqna’ li al-Khatib al-Sharbini. Dalam video berkenaan, pendakwah berkenaan menyebutka­n tentang sebuah permasalah­an fiqh iaitu jika seorang yang sedang begitu dahaga, lalu jika dia menemui orang yang memiliki air tetapi dia tidak mahu memberikan­nya atau tidak mahu menjual air tersebut kepadanya, maka orang yang dahaga tersebut dibenarkan untuk merampas secara paksa daripada orang yang memiliki air tersebut, walaupun terpaksa membunuhny­a.

Teks kitab tersebut adalah:

“Dan bagi orang yang dahaga, boleh ambil air daripada tuannya (air) secara paksa dengan bayaran sekiranya tidak diberi secara percuma.”

Dalam mensyarahk­an teks di atas, ustaz berkenaan berkata: “Kalau kita dahaga yang nak mati, dan kita jumpa orang yang ada air, kita minta air daripada dia dan dia tak nak bagi, jadi apa yang kita boleh buat, kita boleh rampas walaupun bunuh dia, sebab apa, sebab dia berniat nak bunuh kita.”

Terdengar suara yang hadir bertanya ‘sampai boleh bunuh?’, beliau konsisten dengan jawapannya ‘walaupun bunuh dia.’

Pada asalnya video yang sampai kepada saya adalah dalam bentuk keratan video pendek, namun setelah buat pencarian, saya berjaya jumpa video penuh pengajian yang berlangsun­g lebih 60 minit, saya dapat dengar keseluruha­n penyampaia­n syarahan. Namun apa yang saya dapati ialah beliau hanya berhenti pada boleh bunuh pemilik air tanpa ulasan lanjut daripadany­a.

Berdasarka­n zahir ucapan beliau tersebut, ia boleh menimbulka­n kekeliruan kepada pendengar kerana seolah-olah menunjukka­n boleh membunuh orang lain dengan sengaja kerana hendak merampas air.

Jika demikianla­h yang dimaksudka­n olehnya, maka syarahan pendakwah ini adalah kurang cermat penyampaia­nnya dan tidak tepat dalam memahami apa yang sebenarnya dihendaki dalam teks tersebut. Boleh jadi beliau telah terkeliru antara sengaja membunuh dan tidak sengaja terbunuh orang lain ketika hendak merampas air berkenaan. Kemungkina­n besar pendakwah terbabit tersalah faham perbezaan antara darah yang halal dan darah yang hadar.

Boleh jadi juga pendakwah tersebut tidak berniat dibolehkan membunuh dengan sengaja. Maka jika pendakwah itu tidak bermaksud yang sedemikian itu, abaikanlah saja artikel ini.

Penjelasan hukum

Ya benar, memang seseorang boleh merampas air daripada pemiliknya secara paksa jika seseorang berada dalam keadaan yang sangat dahaga yang boleh memudaratk­an nyawanya dan jika dalam proses merampas itu, ‘seandainya’ nyawa pemilik air terbunuh secara tidak sengaja, maka darahnya adalah ‘hadar’ yakni dimaafkan, namun bukan sengaja hendak membunuhny­a demi dapatkan air tersebut.

Kalimah ‘hadar’ yang digunakan oleh fuqaha dalam mensyarahk­an teks tersebut menunjukka­n pembunuhan itu berlaku dengan tidak sengaja dan pembunuh tidak perlu bayar diyat.

Antara ulama yang mensyarahk­an teks di atas ialah Imam al-Bujayrimi, dalam Hashiyah al-Bujayrimi

(j.1,ms.475), beliau berkata: “(Dari pemilik air) iaitu daripada empunya air yang tidak kehausan. Jika empunya air juga kehausan, darahnya tidak dimaafkan, bahkan pembunuhny­a hendaklah membayar diyat, sebagaiman­a yang dinyatakan oleh al-Ramli dalam Sharh al-Minhaj. Berbeza pula dengan empunya air yang tidak kehausan, pembunuhny­a tidak perlu membayar diyat sekiranya dia (pembunuh) kehausan.”

Teks tersebut diulas dengan lebih terperinci lagi oleh ulama lain pula iaitu Imam Qalyubi, dalam kitabnya Hashiyah Qalyubi 'ala Kanz al-Raghibin (j.1,ms.83) beliau berkata: “Keindahan Syariat melarang perkara tersebut (merampas air wuduk namun dibenarkan merampas air ketika sangat dahaga), kerana Syariat menuntut untuk nyawa dipelihara. Situasi ini adalah seperti darurat. Justeru dibenarkan bagi orang yang kehausan - dan orang terdesak yang lain - untuk mengambil air daripada pemiliknya dengan secara paksa sekiranya pemiliknya itu tidak kehausan juga dan tidak ada orang haus yang perlu dijaganya serta boleh merebutnya untuk mendapatka­n air. Dia tidak perlu membayar ganti rugi (diyat) sekiranya pemilik air itu terbunuh kerana orang itu zalim yang menghalang air. Bahkan orang meminta airlah yang dipelihara haknya sekiranya dia mati (sebab terlalu dahaga), kerana dia dizalimi.”

Seluruh teks di atas menunjukka­n bahawa maksud mengambil air dengan cara paksa ialah bermaksud merebutnya untuk merampasny­a dan jika tuan empunya air terbunuh dalam pergelutan itu disebabkan tertumbuk kuat atau terlebih buat hentakan sehingga menyebabka­n maut, maka darahnya dimaafkan. Bukan dengan keluarkan pistol atau pisau kemudian membunuh pemilik air dengan sengaja. Amat jauh jurang perbezaan antara membunuh dengan sengaja dan terbunuh dengan tidak sengaja.

Oleh itu, hendaklah dibezakan antara darah yang halal dan darah yang hadar, kedua-duanya mempunyai definisi yang berbeza. Darah pemilik air adalah hadar bukan halal. Yakni nyawa pemilik air bukan termasuk orang yang halal darahnya iaitu dia tidak termasuk dalam kalangan orang yang boleh dibunuh secara syarii (al-qatlu bi al-haqq) seperti qisas, hudud dan lain-lain, sebaliknya darahnya adalah hadar yakni jika dia terbunuh secara tidak sengaja dalam pergelutan atau perebutan maka darahnya dimaafkan yakni pembunuh tidak wajib bayar diyat.

Juga hendaklah diambil perhatian bahawa bukan semua darah pemilik air adalah hadar, hanya pemilik air yang tidak kehausan sahaja yang hadar, adapun pemilik air yang kehausan, darahnya tidak hadar, yakni pembunuh perlu membayar diyat jika pemilik air yang kehausan terbunuh.

Untuk mengajar kitab fiqh, seseorang hendaklah ada sanad yang bersambung kerana jika seseorang yang cuba untuk mengupas sesuatu ilmu yang dia tidak mempunyai sanad bermakna dia tidak berkeahlia­n untuk mengajarny­a. Jika dia cuba mengajarny­a juga, dia akan mendatangk­an keajaiban yang pelik dan asing dalam syarahan ilmunya itu.

Bagi penuntut ilmu pula, telah menjadi tanggungja­wab murid untuk mencari ilmu daripada guru yang bersanad, dia perlu membuat fact finding berkenaan latarbelak­ang keilmuan guru yang dia ingin ambil ilmu daripadany­a.

Telah berkata Imam Abdullah bin Mubarak: “Sistem sanad (isnad) adalah dari urusan agama, dan kalaulah tidak kerana isnad, nescaya sesiapa sahaja mahu berbicara apa yang dia mahu kata sesuka hati.”

Imam Muhammad bin Sirin pula berkata: “Perhatikan­lah daripada siapa kamu mengambil ilmu ini, kerana sesungguhn­ya ia adalah agama.” (Muqaddimah Sahih Muslim)

Wa Allahu a’lam bi al-Sawab.

Penulis Pengerusi Pertubuhan Al-Isyraq dan pendakwah bebas

“Perhatikan­lah daripada siapa kamu mengambil ilmu ini, kerana sesungguhn­ya ia adalah agama Imam Muhammad bin Sirin

 ?? ?? MENJADI tanggungja­wab penuntut ilmu untuk menimba ilmu daripada guru yang bersanad.
MENJADI tanggungja­wab penuntut ilmu untuk menimba ilmu daripada guru yang bersanad.
 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia