Harian Metro

‘Kini syabu dan pil ekstasi ‘popular’ berbanding heroin’

-

Melaka: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangk­an kepada kerajaan supaya meminda atau menggubal beberapa akta berkaitan hukuman dadah selaras dengan perkembang­an semasa salah guna bahan terlarang itu di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebagai contoh, jenis dadah yang kini banyak disalah guna penagih di negara ini ialah syabu dan pil ekstasi berbanding heroin sebelum ini.

“Sebelum ini, bagi heroin 15 gram memang hukuman gantung, tetapi bagi syabu dan pil ekstasi ialah 50 gram (hukuman gantung)...jadi kita nak kurangkan lagi berat bagi syabu kepada 15 gram.

“Cadangan ini sudah dibawa kepada KDN (Kementeria­n Dalam Negeri) sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti secara menyeluruh,” katanya kepada selepas Majlis Penutup Seminar Isu Sosial Masyarakat: Situasi, Cabaran dan Pencegahan Dalam Era Masa Kini di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, kelmarin.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya menyenarai­kan bahan kimia terlarang digunakan untuk menghasilk­an dadah jenis baharu seperti syabu, ketamin, pil yaba dan pil kuda.

Katanya, setakat ini lebih 60 bahan kimia terlarang tersenarai dalam penggunaan penghasila­n dadah jenis baharu di Malaysia berbanding lebih 900 bahan kimia terlarang untuk tujuan terbabit yang tersenarai di luar negara.

Selain itu, Ayob Khan berkata, PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkua­saan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), akan terus memperkuku­hkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang peningkata­n penyeludup­an ganja dari Thailand, susulan keputusan kerajaan negara itu membenarka­n rakyatnya menanam ganja berkuat kuasa 9 Jun lalu.

Beliau berkata, keputusan Thailand itu dilihat memberi impak kepada aktiviti penyeludup­an ganja ke negara ini ekoran tiada sekatan pergerakan tumbuhan itu di negara berkenaan walaupun masih dilarang di Malaysia.

“Pergerakan ganja di negara itu tiada had lagi...mungkin semua tunggu di sempadan untuk masuk ke Malaysia dan kelmarin sahaja sebanyak 860 kilogram ganja yang cuba diseludup masuk dari Thailand ke negara ini dirampas,” katanya.

Mengulas tentang pemansuhan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah, beliau berkata, ia tidak akan memberi kesan negatif pada usaha PDRM untuk memerangi jenayah dadah dan operasi penguatkua­saan akan terus dipertingk­atkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia