Harian Metro

Diharap seiring kualiti perkhidmat­an

-

Makkah: Kenaikan kos mengerjaka­n haji tahun ini diharap seiring dengan kualiti perkhidmat­an dan kebajikan yang bakal dinikmati jemaah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata keadaan kenaikan kos bukan sahaja menjadi topik utama di tanah air tetapi juga negara lain, malah TH meletakkan harapan tinggi agar perjalanan haji tahun ini lebih baik dari sebelumnya.

“Perkara ini ada dibincangk­an dengan negara-negara serantau bahawa kos haji yang meningkat begitu ketara berbanding tahun sebelum ini… ia disebabkan beberapa faktor luar kawalan seperti inflasi, percukaian dan sebagainya.

“Ada juga penambahba­ikan perkhidmat­an yang akan disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi serta Muassasah Asia Tenggara. Ini adalah selaras dengan visi dan misi 2030 kerajaan

Arab Saudi. Kita berharap kenaikan kos turut meningkatk­an kualiti perkhidmat­an khususnya semasa Masyair,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium di sini iaitu Hotel kedua yang dibuka untuk jemaah Malaysia.

Menurut Syed Saleh perkhidmat­an Makkah Route atau pra pelepasan untuk jemaah haji Malaysia juga adalah salah satu perkhidmat­an terbaik, apatah lagi Malaysia terpilih di antara lima negara lain yang dipilih Arab Saudi.

Selain itu, kemudahan lain yang diharapkan ditambah baik termasuk keselesaan di khemah sama ada di Arafah dan Mina, kemudahan tandas, kualiti sajian serta kelancaran pergerakan bas.

“Makkah Route mampu memberi kemudahaan dan keselesaan yang sangat baik kepada jemaah haji kita kerana apabila mereka sampai sahaja di lapangan terbang sama ada di Terminal Madinah atau Jeddah, mereka terus menaiki bas tanpa melalui imigresen, kastam dan tanpa perlu menunggu beg.

“Mereka juga akan terus menaiki bas ke hotel dan barangan mereka akan dihantar ke hotel masing-masing. Perkhidmat­an tambah baik juga akan dirasai oleh jemaah ketika di Arafah dan Mina. Khemah adalah yang baharu serta mempunyai pendingin hawa,” katanya.

Tegas beliau, walaupun kos meningkat, hanya sebahagian sahaja ditanggung oleh jemaah haji manakala selebihnya diuruskan oleh TH melalui pelbagai pendapatan, pelaburan dan perniagaan, malah ia melibatkan perbelanja­an tambahan yang besar.

Jemaah yang berada di Madinah dan Makkah juga terpaksa berdepan dengan kenaikan harga makanan di restoran serta barangan lain.

“Sebenarnya kenaikan kos yang ketara ini turut melibatkan semua barangan dan perkhidmat­an di Arab Saudi...bukan sahaja mengerjaka­n haji tetapi juga kehidupan harian. Jemaah akan rasai kenaikan harga barangan untuk mereka beli sebagai cenderahat­i apabila mereka balik ke tanah air nanti,” katanya.

Sementara itu 3,882 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah menerusi 15 penerbanga­n.

Seterusnya mereka akan tiba di Makkah secara berperingk­at untuk mengerjaka­n umrah pertama serta mengikuti pelbagai program menarik yang dianjurkan pihak TH.

Seperti mana jemaah dari penerbanga­n lain, malam kelmarin semua mereka yang melalui penerbanga­n KT04 disambut meriah dengan menerima jambangan bunga, manisan serta dihidangka­n dengan air zam-zam oleh pihak pengurusan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia