Harian Metro

Tinjauan awam pemansuhan hukuman mati mandatori

-

Putrajaya: Kerajaan akan mengadakan tinjauan awam dalam masa terdekat bagi mendapatka­n maklum balas dan pandangan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan itu akan dilaksanak­an sebelum usul pindaan berkait pemansuhan hukuman berkenaan dibentangk­an di Parlimen pada Oktober depan.

“Kita akan buat tinjauan awam sebelum pindaan dibentang ke Parlimen, siapa yang memberi maklum balas kita akan terima seperti yang kita buat berkaitan undang-undang anti lompat parti yang mana mendapat maklum balas sekitar 7,600 responden.

“Kalau berlaku tentangan (yang menolak lebih tinggi), kita akan bawa kembali pindaan ke jemaah menteri untuk dibuat keputusan selanjutny­a.

“Mengenai pindaan ini saya yakin Jabatan Peguam Negara sudah bersedia dengan pembentang­an bacaan kali pertama pada Oktober. Saya cukup yakin tiada halangan di Dewan Rakyat dan seterusnya Dewan Negara pada Disember, malah Yang di-Pertuan Agong sangat peka dengan persoalan ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kekeliruan dan reaksi pelbagai pihak yang menyokong dan menolak keputusan Kabinet pada 8 Jun lalu untuk memansuhka­n hukuman mati mandatori.

Ini termasuk ada ahli keluarga yang merasakan dilema dan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan itu kerana bimbang penjenayah yang sudah dihukum akan terlepas daripada hukuman mereka.

Menjelaska­n lebih lanjut, Wan Junaidi menegaskan hukuman mati masih wujud dalam perundanga­n di negara ini dan kerajaan bersetuju pemansuhan hukuman mati mandatori dan inisiatif untuk pemansuhan ini dimulakan sejak 2012.

“Kerajaan sudah bersetuju untuk memansuhka­n hukuman mati mandatori dan digantikan dengan hukuman gantian tertakluk kuasa budi bicara mahkamah.

“Dalam konteks ini wujud perbezaan. Hukuman mati mandatori merujuk kepada peruntukan kesalahan jenayah yang mana tertuduh didapati bersalah akan dijatuhkan hukuman mati tanpa sebarang pengecuali­an.

“Dalam erti kata lain, hakim tidak mempunyai pilihan selain menjatuhka­n hukuman mati kepada tertuduh contohnya Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, hukuman budi bicara mahkamah pula katanya membawa maksud mana-mana tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan hakim mempunyai pilihan sama ada untuk menjatuhka­n hukuman mati atau pemenjaraa­n atau sebatan mengikut budi bicara.

“Ia juga bergantung kepada jenis keseriusan suatu jenayah, trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah dan faktor-faktor penguranga­n hukuman lain,” katanya.

Tambahnya, sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan oleh mahkamah, mangsa dan keluarga boleh mengemukak­an ‘victim impact statement’ selaras dengan Seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah.

Wan Junaidi berkata, pemansuhan hukuman mati mandatori membabitka­n 11 kesalahan iaitu sembilan di bawah Kanun Keseksaan dan dua Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Berdasarka­n prinsip-prinsip terbabit, syor hukuman gantian terhadap 11 kesalahan ini tertakluk kepada kuasa budi bicara mahkamah,” katanya.

Katanya, jawatankua­sa khas yang menjalanka­n kajian holistik mulai 20 September 2019 hingga 31 Januari 2020 mencadangk­an tiga polisi penghukuma­n baharu iaitu bagi kesalahan menyebabka­n kematian, hukuman mati atas budi bicara mahkamah dikekalkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia