Harian Metro

Lima juzuk sehari kuatkan daya ingatan terhadap hafazan al-Quran

-

Johor Bahru: Dorongan keluarga dan guru menjadikan dua beradik dari Sabah, Miza Faihanah Mohd Japar, 23, dan Dian Karisma, 17, antara hafizah yang berjaya menghafaz al-Quran seterusnya mewakili Negeri Di Bawah Bayu itu pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan (MTHQK) kali ini.

Mengakui berdepan cabaran tersendiri dalam hafazan al-Quran, Miza Faihanah yang julung kali menyertai MTHQK lebih gementar berbanding adiknya.

Katanya, sebagai penuntut tahun akhir jurusan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat di Institut Tahfiz Al-Quran Sabah di Papar, pastinya banyak program yang perlu diselesaik­an.

“Guru dan ibu bapa banyak membantu. Setiap hari, sebelum memasuki perujian ini, saya akan dibantu guru untuk membuat tasmik (ulangkaji) dua juzuk.

“Bagi ulangan sendiri, saya akan buat lima juzuk sehari bagi menguatkan daya ingatan terhadap hafazan al-Quran.

“Banyak kelebihan menghafal kalam Allah SWT ini, banyak yang saya boleh lihat sendiri ialah mengubah diri kita menjadi lebih baik daripada segala aspek, selain rezeki makin bertambah dan kehidupan rasa lebih dipermudah­kan,” katanya di Pusat Islam Iskandar, di sini, semalam.

Jelas anak keempat daripada tujuh beradik ini, dia mengambil masa empat tahun untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran.

 ?? ?? DIAN (kiri) dan Miza menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran. - Gambar NSTP/OMAR AHMAD
DIAN (kiri) dan Miza menyemak bacaan dan hafazan Al-Quran. - Gambar NSTP/OMAR AHMAD

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia